Kelibat individu bernama Mohd Izary Muhammed Ikhbal yang kini dikenali sebagai ‘Coach Cerai’ ketika kes prosiding cerai Uqasha Senrose, berkata dia dikecam hebat sehingga digelar dasim.
Memetik Harian Metro, Izary bagaimanapun tidak menyalahkan netizen kerana tidak memahami skop kerjanya sehingga disalah anggap mahu mengajar orang bercerai.
BACA: “Apa Keje Dia?” – Netizen Terkejut Baru Tahu Ada Coach Cerai
“Memang ada yang kecam hingga panggil dasim (syaitan atau jin yang merosakkan rumah tangga) dan persepsi negatif kerana anggap saya nak ajar orang bercerai.
“Tapi saya tak salahkan mereka, mungkin ada beranggapan begitu kerana tak faham skop kerja saya yang sebenarnya nak bantu selamatkan rumah tangga,” katanya.
Berkongsi lanjut, Izary berkata sebelum ini dia bekerja dalam bidang kewangan dan beralih kerjaya sebagai pembimbing merangkap penasihat pasangan selepas berpisah sejak Oktober tahun lalu.
Menurut Izary lagi, dia berdepan dua kali episod perceraian dengan bekas isteri serta memahami kesukaran selepas berpisah.
“Saya ada pengalaman bercerai, yang pertama pada 2006 dan kini dengan isteri hasil perkahwinan kali ketiga.
“Alhamdulillah, rumah tangga saya sekarang sudah bertahan selama 12 tahun dan sebelum ini, saya pernah beri nasihat kepada pasangan yang ada isu rumah tangga supaya tak bercerai,” katanya.
Dalam pada itu, Izary berkata dia turut dibantu isteri, Ungku Zuraida Ungku Izzat sebagai penasihat bagi memberikan sudut pandang wanita.
Kongsinya lagi, ada pasangan yang hampir bercerai namun membatalkan hasrat mereka selepas mengikuti programnya sekaligus dia dapat membantu menyelamatkan rumah tangga yang retak.
“Pendekatan saya adalah dengar masalah klien kemudian bimbing mengikut situasi bersandarkan pengalaman peribadi saya dan perkara pertama adalah bantu perbetulkan pemikiran mereka mengenai rumah tangga.
“Saya tak pernah galak orang bercerai tapi bagi mereka (klien) ‘cermin’ untuk lihat semula diri dan beri kesedaran, bukannya beritahu apa mereka patut buat.
“Alhamdulillah, rata-rata klien puas hati dan beri maklum balas positif. Kepuasannya dapat membantu menyelamatkan rumah tangga kerana pernah ada pasangan yang hampir nak bercerai sebelum ikuti program saya tapi batalkan hasrat keesokannya.
“Ada juga yang klien wanita trauma dengan perceraian tapi akhirnya terbuka hati nak berkahwin lagi tapi semuanya juga berlaku dengan izin Allah SWT,” katanya.
Sumber: Harian Metro






