11 dipenjara seumur hidup kerana kebakaran maut di resort ski Turkiye

11 dipenjara seumur hidup kerana kebakaran maut di resort ski Turkiye


ISTANBUL: Sebuah mahkamah di Turkiye semalam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap 11 individu berhubung insiden kebakaran yang meragut 78 nyawa di sebuah resort ski berhampiran Pergunungan Bolu, barat laut negara itu pada Januari lalu, lapor media tempatan.

Antara yang dijatuhi hukuman ialah Halit Ergul, pemilik Hotel Grand Kartal yang terletak di kawasan peranginan ski Kartalkaya, 295 kilometer dari Timur Istanbul.

Kesemua tertuduh didapati bersalah dan menerima hukuman penjara seumur hidup yang diperberatkan oleh mahkamah di wilayah Bolu, menurut stesen penyiaran kerajaan, TRT Haber.

Daripada 78 mangsa yang terkorban, seramai 34 merupakan kanak-kanak dan insiden tragis itu berlaku ketika cuti persekolahan, apabila ramai keluarga dari Istanbul serta Ankara memilih kawasan pergunungan Bolu sebagai destinasi percutian musim sejuk.

Selain korban jiwa, seramai 137 individu turut mengalami kecederaan akibat kebakaran berkenaan.

Menurut TRT, perbicaraan itu melibatkan 32 tertuduh, termasuk 20 yang ditahan sebelum perbicaraan di mana selain Halit Ergul, mereka yang didakwa termasuk ahli lembaga pengarah, pengurus, kakitangan hotel, seorang timbalan datuk bandar dan beberapa anggota bomba.

Tragedi berkenaan mencetuskan kemarahan rakyat dan gesaan agar pihak berkuasa memperketatkan piawaian keselamatan bangunan di negara itu.

Pakar bebas mendakwa hotel tersebut, yang terletak di kawasan peranginan ski Kartalkaya, tidak memenuhi keperluan asas keselamatan kebakaran.

Siasatan mendapati api bermula dari tingkat restoran bangunan 12 tingkat itu, yang ketika itu menempatkan 238 tetamu.

Kebakaran yang berlaku pada waktu malam menyebabkan ramai pengunjung panik dan terpaksa terjun keluar dari tingkap untuk menyelamatkan diri. -AGENSI





Source link

OR

Scroll to Top