mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gitaris kumpulan Kristal, Rody memaklumkan mereka tidak selesa untuk menyanyikan lagu-lagu berkonsep ‘galau’ dari Indonesia.
Rody berkata, biarpun peminat masa kini menggemari lagu-lagu dari negara jiran itu, Kristal lebih tertarik menyanyikan lagu galau tempatan yang menarik dan sedap didengar.
“Kita akan buat galau dengan lagu-lagu kumpulan Wings, Search, Slam, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan banyak lagi. Kristal nak ajar peminat generasi baharu, budak-budak muda ini agar hargai lagu tempatan.
“Negara kita ada lagu-lagu best, berbanding daripada asyik dengar lagu seberang sahaja. Sebenarnya kita sendiri ada lagu-lagu best, galau yang best dan lagi hebat dari orang lain.
“Malaysia pun ada lagu galau sebenarnya. Kala lagu galau Indonesia, kita bagi band lain nyanyilah. Siapa yangt minat lagu galau Indonesia, dia boleh tengok band itu,” katanya.
Rody berkata, Kristal yang turut dianggotai Ewal (vokalis), Kechiq (bass) dan Acap (drum) mempunyai pendirian sendiri dalam perkara ini dan pihak lain perlu memahaminya.
“Kristal cuba juga mainkan lagu galau seberang, tapi memang tak ‘feel’, tak masuk. Memang lainlah… dia kena lagu untuk umur 30-an ke atas.
“Lagipun Kristal membesar dengan dengar lagu era 80-an dan 90-an. Bila peminat dengar lagu seperti Resam Pak Belalang, Delaila dan lain-lain, mereka akan balik rumah dan cari semula lagu-lagu ini.
“Mereka akan datang lagi menonton persembahan kami walaupun diadakan di lokasi sama berulang kali. Memang penuh,” katanya yang kini aktif terbabit mengadakan persembahan di festival jualan.
Terbaharu, Kristal akan terbabit dalam GF GALAU Food Festival (GFF) yang berlangsung di Setia Alam Convention Centre, Selangor bermula 27 hingga 31 Disember 2025.
Festival berkenaan turut menampilkan Keena Mentor, Ways, Exceed dan Arca Band.
© New Straits Times Press (M) Bhd






