Pelakon, usahawan dan aktivis kemanusiaan, Nadzmi Adhwa secara terbuka tampil meminta pandangan dan nasihat daripada pengikutnya di media sosial mengenai cara terbaik untuk mengawal sifat baran dalam diri.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di platform Threads, suami kepada pelakon Ardell Aryana itu mengakui, dirinya ingin belajar untuk lebih sabar dan bertenang ketika berdepan situasi melibatkan emosi.
“Boleh share dengan saya tak macam mana kau orang handle baran yang ada dalam diri?
“Dan, bila rasa sangat marah apa yang kau orang buat untuk calm down dan sabar? Share dengan saya boleh? Moga kita sama-sama dapat manfaat,” kongsinya.

Perkongsian tersebut bagaimanapun menerima tindak balas positif apabila rata-rata pengikutnya berkongsi pelbagai kaedah untuk menenangkan diri termasuk berzikir, berwuduk, mengalihkan perhatian kepada aktiviti positif serta mengamalkan doa menahan marah seperti yang diajarkan dalam Islam.








