Alexander-Arnold tetap cinta Liverpool walapun kena ejek di Anfield

Alexander-Arnold tetap cinta Liverpool walapun kena ejek di Anfield


London: Trent Alexander-Arnold dijangka bakal menerima sambutan ‘panas’ apabila kembali ke Anfield bagi perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Liverpool, awal pagi Rabu ini, namun pertahanan Real Madrid itu berkata tiada provokasi daripada penyokong mampu mengurangkan rasa cinta terhadap kelab zaman kanak-kanaknya itu.

Pemain kelahiran Liverpool itu membesar dalam sistem akademi kelab berkenaan dan pernah memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), UCL serta Piala Dunia Kelab bersama pasukan Merseyside tersebut.

Keputusan untuk tidak menandatangani kontrak baharu di Liverpool menimbulkan kemarahan ramai penyokong, yang mengejeknya dalam perlawanan EPL menentang Arsenal pada Mei lalu selepas beliau menyatakan hasrat untuk mencari cabaran baharu.

“Saya rasa bagaimana pun sambutan yang saya terima nanti, itu adalah keputusan penyokong,” kata Alexander-Arnold kepada Amazon Prime semalam.

“Saya akan sentiasa mencintai kelab itu. Saya akan sentiasa menjadi peminat Liverpool.

Tidak kira apa berlaku, perasaan saya terhadap Liverpool tidak akan berubah. Saya mempunyai kenangan di sana yang akan kekal sepanjang hayat saya, dan tidak kira bagaimana saya disambut, perkara itu tidak akan mengubah apa-apa.”

Liverpool kini bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini, setelah tewas enam kali dalam lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan. Namun Alexander-Arnold menegaskan tiada siapa di Real Madrid yang akan memandang rendah juara EPL itu.

“Ia akan menjadi perlawanan sangat sukar. Suasana di stadium dan sambutan penyokong akan menyumbang kepada kesukaran itu, tetapi bagi saya, yang lebih penting ialah kualiti bola sepak mereka,” tambah pemain berusia 27 tahun itu.

“Walaupun keputusan mereka kebelakangan ini tidak begitu baik, Liverpool tetap sebuah pasukan bola sepak yang hebat, dan tiada siapa di sini yang fikir ia akan menjadi perlawanan yang mudah.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top