hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Selepas dua kali memasang niat, tahun 2025 akhirnya melakar sejarah buat Datuk Fadil Marsus selepas berjaya menyempurnakan acara triathlon terkemuka, Ironman Malaysia di Langkawi, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur itu sudah lama menyimpan hasrat menyertai Ironman Malaysia dan cubaan pada 2022 dan 2023 tidak dapat disempurnakan kerana tugasan hakiki yang perlu didahulukan.
Fadil, 50, berkata, Ironman Malaysia sangat menguji stamina, fizikal dan mentalnya, apatah lagi ia menuntut komitmen latihan yang tinggi.
“Jujurnya, selama hampir tiga bulan saya tidak dapat memberi komitmen dalam latihan kerana perlu mendahulukan kerja hakiki. Namun, dengan semangat yang ada, saya teruskan juga dan pada tahun ini barulah berpeluang menyertai Ironman Malaysia.
“Bagi saya usia bukan penghalang selagi kita mempunyai semangat untuk meneruskan perlumbaan ini,” katanya yang melakar sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya ketua polis negeri yang menyertai acara berkenaan.
Fadil berkata, antara detik yang paling mencabar ialah ketika berenang sejauh 3.8 kilometer (km) yang menyebabkan beliau hampir kehabisan tenaga.
“Saya berenang sejam 55 minit. Lepas berenang, saya berjalan untuk pulihkan diri. Ketika dalam disiplin berbasikal, saya mula makan dan minum supaya dapat mengembalikan tenaga.
“Berbasikal saya buat tujuh jam 20 minit. Jadi saya tinggal (baki masa) lebih kurang enam jam 45 minit untuk habiskan larian sebelum masa penamat.
“Tidak pernah dalam hidup saya berlari lebih lima jam tanpa henti. Jika berhenti, saya akan hilang kelayakan untuk ke garisan penamat,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan, detik paling indah dirasai ketika disambut isteri, anak dan pegawai polis yang menyertai perlumbaan itu di garisan penamat.
“Saya tidak menangis di garisan penamat, tetapi isteri saya yang menangis kerana gembira dengan kejayaan ini. Saya nikmati detik indah itu bersama individu yang menyokong saya dalam sukan ini.
“Ironman Malaysia sesuatu yang mempunyai cabaran tersendiri kerana muka bumi perlumbaan yang berbukit. Jadi, apabila ada peserta yang menamatkan perlumbaan penuh emosi, saya faham perasaan itu,” katanya.
Katanya, beliau mula aktif dengan triathlon pada usia 35 tahun dan dapat mengenali ramai individu yang berkongsi pengalaman dan nasihat.
“Triathlon menuntut program latihan yang sangat komprehensif. Bukan sekadar acara, tapi gaya hidup.
“Polis memang sinonim dengan kecergasan fizikal. Saya menggalakkan semua pegawai dan anggota yang berminat untuk menyertainya. Banyak kebaikan fizikal dan mental,” katanya yang menaungi Kelab Triathlon Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





