KUALA LUMPUR: Stesen radio Kool 101 kini berwajah baharu apabila secara rasmi dijenamakan semula sebagai Kool FM.
Ia sekali gus menandakan permulaan era baharu dalam dunia penyiaran tempatan dengan membawa semangat dan identiti segar melalui tagline ‘Malaysia Dah Kool’.
Transformasi ini bukan sekadar perubahan nama, tetapi mencerminkan evolusi menyeluruh terhadap hala tuju dan nilai jenama.
Di bawah pengurusan Media Prima Audio (MPA), Kool FM kini tampil dengan misi lebih besar iaitu menjadi suara yang menyatukan pendengar Malaysia melalui kisah, muzik dan perbualan yang mencerminkan kehidupan sebenar masyarakat hari ini.
Bawa semangat baharu
Ketua Kandungan Kool FM, Ainul Farhana, berkata perubahan ini dibuat bagi memastikan jenama kekal relevan dengan pendengar pelbagai lapisan dan generasi.
“Kami bukan sahaja memperkenalkan wajah dan identiti yang segar, tetapi membawa semangat baharu yang lebih dekat dengan komuniti.
Tagline ‘Malaysia Dah Kool’ menggambarkan semangat positif dan progresif rakyat Malaysia yang bangga dengan jati diri mereka,” katanya.
Menurutnya, melalui penjenamaan semula ini, Kool FM berhasrat menjadi stesen yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga dekat dengan cara hidup masyarakat Malaysia yang semakin moden dan berinformasi.
Bukan sekadar nama
Sebelum ini dikenali sebagai Kool 101 dengan tagline ‘Semasa, Sosial dan Muzik yang Familiar’, stesen ini sinonim dengan berita, isu semasa dan lagu-lagu nostalgia.
Namun, melalui perubahan kepada Kool FM, pendengar bakal menikmati pengalaman yang lebih menyeluruh merangkumi gaya hidup, hiburan dan budaya kontemporari tanpa meninggalkan nilai tempatan.
Kool FM kini menampilkan kandungan yang lebih santai, interaktif dan relevan dengan kehidupan harian rakyat Malaysia, sama ada melalui perbualan ringan, muzik popular tempatan dan antarabangsa atau segmen yang mengangkat kisah komuniti dan inspirasi kehidupan sebenar.
Lebar capaian lokasi baharu
Sebagai sebahagian daripada fasa transformasi ini, Kool FM turut mengembangkan siarannya ke tiga lokasi baharu iaitu Johor Bahru, Melaka dan Ipoh.
Pendengar kini boleh mendengar di frekuensi 87.6FM di Ipoh, 88.1FM di Melaka dan Utara Johor, serta 105.3FM di Johor Bahru, selain kekal boleh didengari di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kuching dan Alor Setar.
Langkah ini sekali gus memperkukuh kehadiran Kool FM sebagai stesen nasional yang lebih mudah diakses di seluruh negara.
Selain itu, MPA turut merancang siri jelajah dan siaran luar (outside broadcast) di ketiga-tiga kawasan tersebut bagi mendekatkan personaliti radio dengan komuniti setempat.
Inisiatif ini bukan sahaja mengeratkan hubungan bersama pendengar, tetapi juga menjadi platform bagi meraikan semangat Malaysia Dah Kool di samping membawa hiburan dan interaksi terus kepada rakyat.
Selari dengan perkembangan pendengar digital yang meningkat, Kool FM juga boleh diakses secara dalam talian melalui laman www.koolfm.audio dan saluran YouTube Kool FM TV.
Stesen ini turut aktif di platform media sosial utama seperti Facebook, Instagram, TikTok, X (Twitter), Telegram dan YouTube di bawah nama koolfmmy.
Pendengar juga boleh mengikuti Kool FM menerusi aplikasi Audio+ yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery.
© New Straits Times Press (M) Bhd





