Sokong guna bahasa Melayu dalam permainan video

Sokong guna bahasa Melayu dalam permainan video


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Guna bahasa Melayu tak bermakna kita ke belakang, sebaliknya bantu kita martabatkan bahasa kerana jika bukan kita, siapa lagi?” kata streamer, pencipta kandungan dan pembangun pelayan (server) permainan video, Afiq Mat Zaid atau dikenali Cikgu Zyd.

Cikgu Zyd, 34, berkata, permainan video kini tidak seperti dulu kerana banyak pilihan bahasa tersedia termasuk bahasa Melayu.

Katanya, dia pun sudah membangunkan pelayan permainan video dalam bahasa Melayu sepenuhnya sejak empat tahun lalu.

“Saya sudah bermain permainan video sejak 1997 hingga sekarang dan akui banyak (permainan video) dalam bahasa Inggeris. Selepas tahun 2010 ke atas baru ada bahasa Indonesia.

“Tapi sekarang sudah ada platform yang membolehkan anak tempatan membangunkan pelayan permainan video dalam bahasa Melayu, malah saya pernah buat yang bertemakan Maulidur Rasul, Israk Mikraj dan Hari Kebangsaan.

“Baru-baru ini, saya buat tema permainan video sempena Hari Malaysia dan bagi soalan, arahan dengan pilihan jawapan dalam bahasa Melayu. Sekarang memang tak ada masalah kerana boleh buat tetapan ikut kegunaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Muhammad Danial Iman Azlan Suhaimi, 21, berkata, penggunaan bahasa Melayu dalam permainan video bukan satu masalah, malah memberi peluang kepada anak tempatan menceburi bidang berkenaan.

Justeru, Muhammad Danial Iman yang juga pemain dan pembangun pelayan permainan video menyokong apa juga usaha memartabatkan bahasa Melayu.

“Bagi saya, penggunaan bahasa Melayu boleh beri peluang kepada mereka yang tak faham atau kurang fasih supaya mereka lebih selesa bermain video seterusnya buat lebih banyak ‘content’.

“Lagipun, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan di negara ini jadi lebih bagus martabatkan bahasa kita sendiri dalam permainan video.

“Mungkin dengan cara itu, lebih ramai pencipta dan pembangun permainan video dalam kalangan anak tempatan akan muncul kerana lebih yakin bila menggunakan bahasa Melayu,” katanya.

Terdahulu, dua sahabat, Muzammil Mudzakir, 36, dan Mohd Hilmi Azli, 39, menerusi syarikat Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) mencipta sejarah tersendiri sebagai pencipta permainan dalam talian berbahasa Melayu sepenuhnya, yang kini mempunyai lebih 100,000 ahli tempatan dan luar negara, antaranya Brunei, Thailand, Singapura dan Australia.

Baru sahaja dilancarkan secara rasmi pada 14 Oktober lalu meskipun sudah berada di dunia maya sejak 2023, permainan dalam talian Adik Beradik Role Play (ABRP) mengetengahkan identiti Malaysia dengan menjadikan kehidupan masyarakat negara ini sebagai latar permainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top