Terengganu Turtles pertaruh tiga import Thailand hadapi STL

Terengganu Turtles pertaruh tiga import Thailand hadapi STL



sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Tiga pemain import dari Thailand menjadi taruhan Terengganu Turtles dalam mengharungi saingan Premier Liga Sepak Takraw (STL) Malaysia pada musim ini.

Skuad yang dikendalikan Mohd Faisal Muhamad itu mempertaruhkan bekas pemain kelab Air Force Thailand, Teerapat Promnin sebagai tekong selain dua lagi rakan senegaranya iaitu Jatuporn Taluengjit dan Sutthikiart Pansaenkaew sebagai perejam.

Malah skuad itu juga turut ‘merantai’ tekong berpengalaman kebangsaan, Muhammad Zulkifli Abd Razak atau lebih dikenali sebagai ‘Sobey’ dalam mengharungi format baharu lima Grand Prix (GP) yang diperkenalkan pada edisi ke-10 tahun ini.

Selain tiga import dan bekas tekong negara, Terengganu Turtles yang mensasarkan kejuaraan dalam GP Terengganu turut mengikat dua apit kanan iaitu Alif Mursyid Rusli dan Muhammad Khairul Aman Mohd Rosdi serta dua apit kiri, Muhamad Zulhusni Basri dan Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kehadiran tiga pemain Thailand itu bakal menambah lagi kekuatan pasukan dalam mengharungi saingan liga utama itu pada musim ini selepas lima musim beraksi dalam saingan Liga Divisyen 1.

“Perejam import yang berada bersama dengan kita pada tahun ini adalah pemain musim lalu, jadi dengan kehadiran tiga import dalam saingan kali ini, kita yakin mampu melangkah lebih jauh lagi pada musim ini.

“Pada masa sama Terengganu antara ‘kilang’ pengeluar pemain sepak takraw tanah air, jadi negeri ini dilihat antara kuasa besar berbanding negeri lain untuk bersaing dalam STL ini.

“Harapan kita dan seluruh peminat sukan sepak takraw ini dengan sokongan padu daripada kerajaan negeri dan penaja, kita sasarkan sekurang-kurangnya tiga tempat terbaik dalam STL pada musim ini serta sekurang-kurangnya mengintai kejuaraan pada GP di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pasukan STL Terengganu Turtles dan Majlis Menandatangani Perjanjian Penaja, E Content Sdn Bhd di Kuala Terengganu, petang semalam yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Sementara itu Presiden E Content Sdn Bhd, Tengku Azran Tengku Adnan berkata, beliau terpanggil untuk menjadi sebahagian daripada penaja bagi memastikan sukan sepak takraw khususnya di Terengganu terus menjadi kuasa dalam negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top