“Apa Yang Penting, Hidup Kami Dipenuhi Cinta & Kebaikan” –  Sabronzo Tenang Bimbing Suami Mualaf Kenali Islam

“Apa Yang Penting, Hidup Kami Dipenuhi Cinta & Kebaikan” –  Sabronzo Tenang Bimbing Suami Mualaf Kenali Islam


Selepas sebulan bergelar isteri, penyanyi dan ahli kumpulan Dolla, Sabronzo mengakui kehidupannya kini lebih tenang dan damai di sisi suami tercinta, Ryan Fieret, atau lebih dikenali sebagai Dash Berlin.

Memetik laporan Berita Harian, Sabronzo atau nama sebenarnya Wan Sabrina Wan Rusli, 30, berkata cabaran terbesar yang dihadapinya ketika ini adalah membimbing suami yang baru memeluk Islam.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ini hal peribadi, jadi saya tak mahu beri tekanan kepada sesiapa. Agama lama suami pun mengajar tentang keamanan dan ketenangan.

“Yang penting, saya berusaha membimbingnya tentang Islam. Selagi kehidupan kami dipenuhi kebaikan dan cinta, insya-Allah semuanya baik-baik saja,” katanya.

Dalam masa sama, Sabronzo berkata kehidupannya selepas bergelar isteri tidak banyak yang berubah, sebaliknya dia bersyukur apabila dikurniakan seorang suami penyayang dan sentiasa menyokong kerjaya sebagai penyanyi.

“Selepas kahwin, saya rasa gembira sebab ditemukan dengan lelaki yang sangat baik dan penyayang.

“Nak kata banyak beza sebelum dan selepas kahwin, tak juga… cuma sekarang bila balik kerja, saya ada teman untuk berbual. Itu pun dah cukup membahagiakan,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi berusia 30 tahun ini turut menolak dakwaan kononnya perkahwinan boleh menjejaskan komitmennya terhadap kumpulan Dolla.

Sebaliknya, Sabronzo menganggap kehadiran Ryan sebagai pendorong untuk dia terus bersemangat dalam kerjaya seni.

“Saya tak rasa perkahwinan ini ganggu kerjaya, malah beri saya semangat baharu. Saya tetap fokus dan akan terus berikan komitmen penuh untuk capai matlamat bersama Dolla.

“Suami juga banyak beri motivasi untuk saya jadi lebih baik, apatah lagi kami sama-sama dalam bidang muzik,” jelasnya.

Untuk rekod, Sabronzo mengesahkan sudah bergelar isteri pada 29 September lalu selepas memuat naik foto perkahwinannya bersama Ryan di media sosial.

Majlis resepsi pasangan ini berlangsung meriah di Bali, Indonesia, pada 25 September, kira-kira dua minggu selepas mereka selamat disatukan.

Difahamkan, mereka mula rapat selepas bekerjasama dalam sebuah acara hiburan awal tahun ini.

Ryan merupakan DJ kelahiran Belanda dan anggota kumpulan antarabangsa terkenal, Dash Berlin.

Sumber: Berita Harian



Source link

OR

Scroll to Top