Kumpulan nasyid Aeydan kini berada di Tanah Suci Makkah bagi menunaikan umrah pertama mereka sebagai ikon dan mutawif.
Aeydan yang merupakan anak-anak kepada anggota kumpulan nasyid legenda Rabbani tampil sebagai generasi baharu yang menyambung legasi dakwah melalui lagu dan imej nasihat dengan gaya muzik moden berjiwa Islamik.
Terbaharu, Aeydan yang dianggotai oleh Ilham Fikri Asri, Izwan Izzuddin Azadan, Farhan Rithauddeen, Fardeen Imran Rithauddeen dan Haikal Rahmat kini bergelar ikon dan mutawif bagi The Mahabbah sedang berada di Tanah Suci sejak 5 November dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 13 November 2025.
Pelantikan Aeydan oleh The Mahabbah, sebuah jenama umrah terkenal berteraskan pendekatan tarbiah dan kasih sayang Rasulullah SAW dianggap sebagai pengiktirafan besar buat kumpulan generasi baharu yang membawa mesej Islamik melalui seni muzik kontemporari.
Menurut jurucakap The Mahabbah, pelantikan ini bukan sekadar penghormatan, tetapi juga simbolik kepada usaha membina jati diri dan semangat dakwah dalam kalangan anak muda.
“Aeydan bukan sekadar kumpulan nasyid. Mereka adalah suara anak muda yang membawa mesej kasih sayang Rasulullah SAW melalui seni dan kini melalui ibadah. Kami percaya langkah mereka ke Tanah Suci ini akan membuka lebih banyak hati untuk mendekati nilai-nilai kebaikan,” ujar jurucakap The Mahabbah.

Dalam tempoh singkat penubuhan mereka, Aeydan telah menghasilkan dua single popular, Bintang dan Purnama yang mendapat sambutan baik di platform digital dan siaran radio Islamik tempatan.
Kejayaan ini membuktikan kemampuan mereka menembusi pasaran muzik moden tanpa meninggalkan nilai dakwah dan keindahan seni Islamik.
Bagi Izwan Izzuddin Azadan, ketua kumpulan Aeydan, peluang ini merupakan satu rezeki besar yang menutup tahun 2025 dengan penuh keberkatan.
“Syukur Alhamdulillah, kami dapat rezeki tak disangka. Kami menutup tahun 2025 dengan mendapat rezeki bekerjasama bersama The Mahabbah. Tak sangka dapat jadi ikon dan mutawif untuk The Mahabbah.
“Terima kasih kepada mereka beri kepercayaan kepada kami dan tak lupa kepada ustaz Azadan Abdul Aziz dari kumpulan Rabbani selaku pengurus kumpulan Aeydan yang memberi kami ruang serta peluang ini. Sekarang ini kami di Tanah Suci sejak 5 sehingga 13 November untuk praktikal mutawif,” kata Izwan.
Sementara itu, Ilham Fikri Asri, anak kepada arwah Ustaz Asri Ibrahim dari kumpulan Rabbani turut meluahkan rasa syukur atas peluang yang diterima dan melihatnya sebagai satu langkah untuk memperkukuh perjalanan dakwah kumpulan.
“Bersyukur atas nikmat yang diberi. Dalam kursus mutawif, saya dapat jadi mutawif terbaik. Saya akan buat terbaik. Insya-Allah, pada Disember saya akan ke Tanah Suci sekali lagi. Saya mohon doa semua.
“Untuk Aeydan pula, saya nampak ia sebagai penambahbaikan untuk tingkatkan prestasi kami sebagai pendakwah. Sejak kecil, kami kumpulan Aeydan yang dikenali sebagai Rabbani Junior, sehinggalah sekarang ini kerjaya kami semakin berkembang, kami dapat luaskan dakwah serta pengaruh kami. Peluang yang kami dapat takkan kami sia-siakan,” katanya.

Ilham juga turut berkongsi perjalanan umrah ini bukan sekadar ibadah, tetapi juga satu latihan spiritual yang memberi kekuatan baharu kepada kumpulan untuk terus berdakwah melalui seni.
Dalam pada itu, berbicara mengenai pekembangan seni, Izwan mendedahkan Aeydan mempunyai perancangan untuk tampil dengan buah tangan terbaharu selepas pulang dari menunaikan ibadah Umrah.
“Insya-Allah, kami juga merancang untuk merakamkan single baharu selepas pulang dari Umrah ini, kali ini kami masih bekerjasama dengan Hafiz Hamidun dan seorang penulis lirik tersohor di Malaysia, kami akan maklumkan. Mohon doa semua agar Aeydan dapat terus berkembang dalam industri nasyid,” katanya lagi.






