Warga emas cedera disondol kerbau

Warga emas cedera disondol kerbau


KUALA PILAH – Seorang warga emas berdepan detik mencemaskan apabila diserang seekor kerbau betina tiga kali, sehingga mengalami kecederaan ketika lelaki itu sedang memberi makan udang di sebuah kolam di Kampung Jumbang, Seri Menanti, di sini, pada Rabu.

Pada kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa Mohd Arshad Lebar, 63, cedera di bahagian dada, perut dan mata, akibat disondol oleh kerbau betina milik penduduk kampung.

Mohd Arshad yang juga pekerja di kolam udang itu berkata, kejadian tersebut berlaku dengan pantas dan tidak menyangka haiwan ternakan seberat lebih 200 kilogram itu, secara tiba-tiba boleh bertindak ganas.

“Ketika sedang memberi udang makan di kolam, saya lihat sekumpulan kerbau di seberang kolam berkenaan. Tidak lama lepas itu, kerbau tersebut menghala keluar dan saya pun bergerak membelakangi haiwan itu.

“Bagaimanapun, tiba-tiba seekor kerbau betina pusing ke belakang lalu mengejar saya sebelum saya disondol sehingga tercampak masuk ke dalam kolam yang kering, sebelum sekali lagi disondol,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Mohd Arshad berkata, haiwan tersebut cuba menyondolnya buat kali ketiga, namun dia sempat menahannya dan membenamkan kepala haiwan itu ke tanah sebelum lari menyelamatkan diri.

Warga emas itu berkata, dia kemudiannya merangkak ke tebing dan mencapai buluh untuk dibuat tongkat, sebelum menunggang motosikal ke warung ketua kampung kira-kira 150 meter dari kolam itu untuk mendapatkan bantuan.

“Saya dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk rawatan lanjut. Ini kejadian pertama berlaku dan memang saya rasa trauma ,” katanya yang dibenarkan keluar daripada hospital semalam dan dinasihatkan untuk berehat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani mengesahkan menerima laporan kejadian itu. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top