Malaysia Airlines jangka penghantaran lima pesawat A330neos menjelang suku pertama 2025

Malaysia Airlines jangka penghantaran lima pesawat A330neos menjelang suku pertama 2025


KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines menjangkakan penghantaran lima pesawat Airbus A330neo menjelang suku pertama 2025, selepas ketibaan A330neo pertamanya bulan depan, kata Pengarah Urusan kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail.

Beliau berkata, dengan pesawat baharu itu kumpulan akan menggunakan pesawat A350 ke Paris, selain laluan utama semasa, iaitu ke London dan Doha.

“Perluasan (laluan) ke Paris tahun depan menandakan permulaan lembaran baharu yang menjanjikan, dipenuhi dengan potensi dan peluang,” katanya pada sidang media di Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia 2024 (MATTA Fair 2024) di sini hari ini.

Izham berkata, walaupun Malaysia Airlines menghadapi beberapa rintangan, syarikat penerbangan itu sentiasa dalam keadaan berwaspada.

“Kami tetap komited sepenuhnya untuk mendapatkan semula keyakinan pelanggan kami dan memberikan pengalaman luar biasa yang  sewajarnya mereka terima.Transformasi sesebuah organisasi tidak datang sekelip mata, pastinya ia akan menempuh pelbagai cabaran.

“Kita tidak sepatutnya berselindung di sebalik tirai dan inilah yang dilakukan MAG. Cita-cita kami adalah untuk menjadi syarikat penerbangan yang hebat menjelang 2025,” katanya.

Sementara itu, Izham berkata, keputusan MAG baru-baru ini untuk mengurangkan kapasiti sebanyak 20 peratus bagi memastikan kemampanan dan kebolehpercayaan operasi adalah perlu sejajar dengan wawasan jangka panjangnya dan mengemudi cabaran jangka pendek yang dihadapi.

“Malaysia Airlines ialah syarikat penerbangan yang selamat. Itulah sebabnya kami melakukan ini (untuk merasionalkan rangkaian),” katanya.

Izham menjelaskan bahawa terdapat banyak isu (untuk ditangani) selain tenaga kerja dan sumber seperti enjin, rantaian bekalan, kapal terbang yang semakin uzur dan kelewatan penghantaran pesawat baharu.

“Setiap tahun, kami melatih kira-kira 80 hingga 200 jurutera. Kami telah menaikkan gaji jurutera dengan ketara dan kenaikan gaji baru-baru ini adalah bulan lepas,” katanya.

Izham menekankan bahawa fokus kini adalah untuk mengutamakan pelanggan, memastikan jadual penerbangan yang boleh dipercayai, sambil memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik.

“Cabaran yang timbul ekoran kelewatan global dalam bahagian pesawat dan penghantaran baharu disebabkan isu rantaian bekalan menjejaskan keupayaan kami untuk beroperasi pada kapasiti penuh.

“Walaupun menghadapi rintangan, MAG proaktif dalam usaha untuk mengubah keadaan dan telah bekerjasama rapat dengan pengeluar peralatan asli (OEM) bagi memastikan penghantaran alat ganti tepat pada masanya dan boleh dipercayai sambil memastikan program penyelenggaraan pesawat yang komprehensif,” katanya.

Izham berkata, MAG bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menambah tenaga kerja dan meningkatkan tenaga kerja kejuruteraan mahirnya, dan pada masa yang sama, menambah baik pakej imbuhan untuk memantapkan bakal tenaga kerja kumpulan itu.

“MAG telah melaksanakan pelan penyelenggaraan yang komprehensif dan memberi tumpuan kepada pelaksanaannya. Operasi menunjukkan tanda-tanda peningkatan, dengan prestasi tepat masa meningkat daripada 85 peratus kepada 90 peratus dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Kami tetap komited untuk mencapai penstabilan penuh dan memulihkan rangkaian kami menjelang akhir tahun,” katanya. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top