Berkunjung ke Karnival Jom Heboh tradisi tahunan keluarga dari Kepala Batas

Berkunjung ke Karnival Jom Heboh tradisi tahunan keluarga dari Kepala Batas


am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Enam belas sekeluarga sanggup berkonvoi menaiki tiga kereta dari Kepala Batas dekat sini demi merasai kemeriahan Karnival Jom Heboh (KJH) yang berakhir hari ini di Stadium Negeri Pulau Pinang.

Pekerja swasta, Nur Batrisya Dayana Ruzaidi, 22, berkata ini adalah tahun kelima dia menjadi pengunjung setia KJH yang dianggap sebagai aktiviti tahunan keluarga besarnya yang terdiri daripada ibu bapa, empat adik beradik, nenek, dua ibu saudara dan enam sepupunya.

“Seingat saya sejak kecil saya sudah dibawa ibu bapa ke KJH tetapi kali ini lebih meriah kerana ramai ahli keluarga dan saudara mara lain mahu ikut bersama.

“Jadi kami bertolak selepas makan tengah hari dan perjalanan mengambil masa kira-kira sejam dari Kepala Batas yang terletak di kawasan Seberang Perai Utara ke Seberang Perai Selatan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara ibu kepada Nur Batrisya, Norhamiza Azizan, 47, berkata, dia gemar mengunjungi pelbagai reruai agensi kerajaan dan syarikat korporat di KJH yang biasanya beroperasi pada hari bekerja untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan yang disediakan.

“KJH ini tidak ubah seperti pusat sehenti macam-macam ada.

“Ada banyak aktiviti untuk anak-anak dan saya sendiri rasa lebih mudah jika ada urusan kaunter seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tak perlu ambil cuti dan ganggu rutin harian,” katanya.

Neneknya, Rohana Abdullah, 60, berkata, dia lebih suka ‘mencuci mata’ dan memborong pelbagai barangan keperluan harian seperti sardin, susu, minyak masak, barangan dapur yang disifatkannya dijual pada harga runtuh dan agak murah berbanding di pasar raya.

“Sebenarnya mak cik yang ajak anak-anak dan cucu datang ke sini. Mak cik pun rasanya sudah tujuh kali datang KJH.

” Tipsnya, kalau nak dapatkan barang murah dan harga berbaloi kena tunggu ‘happy hour’ dan biasanya mak cik akan datang pada hari terakhir,” katanya.

Turut mencuri perhatian, sekumpulan petugas kesihatan dari Klinik Pergigian Nibong Tebal sanggup berpanas demi mempersembahkan tarian boria bertemakan penjagaan kesihatan gigi untuk meningkatkan kesedaran pengunjung mengenai kepentingan menjaga kebersihan oral.

Ketuanya, Dr Nur Hidayah Zulkifeli berkata, kumpulan terdiri daripada 12 penari tampil kreatif menari boria secara terbuka sebanyak dua kali sehari pada sebelah pagi dan petang sepanjang tiga hari KJH berlangsung.

“Saya sendiri mengarang empat buah lagu bertemakan penjagaan kesihatan khas untuk KJH dan kumpulan kami sebenarnya pernah mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Latihan Memberus Gigi Peringkat Pulau Pinang 2025,” katanya.

Hampir 300,000 pengunjung membanjiri KJH setakat jam 6 petang ini dengan pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti riadah, hiburan dan pertandingan menarik seperti ‘Street Soccer 3 on 3’, Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Pertandingan Tarian Tradisional Drama Sangat Terbuka, Buletin Challenge.

Pengunjung turut berpeluang beramah mesra dengan barisan pelakon drama TV3 dan personaliti TV9, Kids Colouring Contest, Tonton Thrill Rumah Hantu, permainan Soopa Doopa, pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, aktiviti memanah, Cabaran Zumba, ‘Pound Fitness Challenge’, Jom Lokal Jam serta Konsert Jom Heboh yang diadakan dua malam berturut-turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top