Harimau Malaya sudah bersedia berdepan Lubnan

Harimau Malaya sudah bersedia berdepan Lubnan


HARIMAU Malaya sudah bersedia untuk menentang pasukan di ranking ke-116 dunia, Lubnan dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente berkata, beliau sedar dengan kualiti dimiliki Lubnan namun menegaskan pemain negara sudah faham dengan taktikal pasukan dari negara Arab.

Menurutnya, skuad negara juga tidak mahu kempunan lagi untuk menjulang Piala Pestabola Merdeka selepas dikecewakan Tajikistan dalam perlawanan akhir tahun lalu.

“Dalam tempoh dua tahun terakhir kami berdepan pasukan yang kuat dan lebih kurang seperti Lubnan iaitu Jordan, Syria dan beberapa pasukan lain. Bagi kami, mereka memiliki pemain dan corak permainan yang hampir sama.

“Kami belajar (daripada perlawanan tersebut). Kami perlu tunjukkan bagaimana boleh menyesuaikan diri dengan situasi ini.

“Dalam perlawanan esok agak sukar untuk menjangkakan apa yang berlaku tetapi, kami perlu sedia secara taktikal dan mental,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan pada Sabtu.

Malaysia mara ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka selepas menewaskan Filipina 2-1 manakala Lubnan menewaskan juara bertahan, Tajikistan 1-0.

Dalam pada itu, Pau Marti menuntut bahagian serangan pasukan yang diketuai Romel Morales supaya lebih tajam dalam memanfaatkan setiap peluang yang hadir.

“Secara keseluruhan sukar untuk jadi sempurna dalam bola sepak tetapi, kami akan cuba untuk menjadi terbaik dalam setiap aspek bertahan dan menyerang.

“Daripada perlawanan terakhir (menentang Filipina), permainan agak positif, namun kami perlu lebih agresif di depan gol dan mencipta banyak peluang.

“Di benteng pertahanan, kami menjangkakan lawan yang kuat dan kami perlu lebih ‘solid’,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top