sukan@hmetro.com.my
Seri Kembangan: Juara bertahan, Selangor Red Giants (SRG) terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas Homebois (HB) dalam saingan Liga Profesional Malaysia (MPLMY) musim ke-14 Mobile Legends Bang Bang (MLBB) di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), hari ini.
Dalam perlawanan pertama itu, SRG yang tidak melakukan sebarang pertukaran pemain musim ini dilihat berada di kelas tersendiri apabila begitu dominan mengatur gerakan bagi memastikan mereka membawa pulang dua mata penting.
Pemain SRG, Muhammad Haqqullah Ahmad Zaman atau mesra disapa dengan Sekys ternyata menjadi nadi penting apabila berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan HB melalui gerakan berbahaya sekali gus memastikan kawasan sendiri lebih selamat daripada dirobohkan oleh askar HB.
Baginya, meskipun dirinya menjadi tumpuan dan sasaran oleh pihak lain, namun itu tidak menjejaskan dirinya untuk menampilkan permainan yang lebih baik setiap kali diberikan peluang untuk bermain.
“Bagi saya itu tidak memberi tekanan pun kita bermain sebagai satu pasukan dan kita sama-sama lakukan demi mendapatkan kemenangan,” katanya, di sini, hari ini.
Permainan konsisten sepanjang tiga perlawanan itu juga membolehkan pemain kelahiran Terengganu itu dipilih selaku pemain terbaik perlawanan.
Selain itu, Sekys yang memainkan peranan sebagai Jungler itu memakluman dia dan rakan-rakan meletakkan sasaran utama musim ini untuk Kejohanan Dunia MLBB (M6) pada November depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Untuk layak ke M6 itu, SRG perlu mara sekurang-kurang ke Grand Final bagi memastikan menjadi dua pasukan terbaik dari Malaysia ke kejohanan terbesar itu.
Selepas ini, SRG akan turun menentang pasukan Rey esok bagi menutup minggu pertama dengan kemenangan bersih.
Untuk rekod, pasukan yang dijaga oleh Michael Angelo Bocado atau dikenali dengan Arcadia itu berjaya muncul juara MPLMY musim ke-13 tanpa sebarang kekalahan dan itu adalah sejarah baharu dalam saingan e-sukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd