Berisiko jadi sungai Zombie

Berisiko jadi sungai Zombie


am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Tanggal 31 Oktober 2025 menjadi detik hitam bagi Sungai Johor yang pernah mencatat sejarah kegemilangan kerajaan Johor suatu ketika dahulu apabila dicemari sedimen dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir.

Sungai yang sedang mengalami proses pemuliharaan selepas beberapa kali ‘dinoda’ termasuk pada 2017 dan 2019 kembali menjadi mangsa apabila mencatat tahap pencemaran paling terburuk membabitkan sumber bekalan air di Johor.

Ia merekodkan bacaan kekeruhan air mentah tertinggi iaitu 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

Malah, bacaan sungai tercemar paling tinggi pernah dicatatkan sebelum ini iaitu lima tahun lalu adalah 5,000 NTU.

Pencemaran yang berlaku kali ini mengakibatkan krisis air membabitkan kira-kira 1.2 juta penduduk termasuk kawasan Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.

Pengarah Kelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Mohd Fadhil Md Din berpandangan, fungsi ekologi dan kebergantungan ekosistem sungai boleh merosot secara kekal jika berlakunya pemendakan sedimen terlampau (sediment pulse) berulang, serta pencemaran bahan cemar (seperti organik ammonia) yang memaksa LRA ditutup berkali-kali.

Beliau berkata, bagi jangka panjang, aggradasi (pemendapan), penyempitan sistem saliran semula jadi, kehilangan habitat secara kolektif, dan komuniti makroinvertebrata yang berada dalam rantaian ekosistem sungai akan menyebabkan ekosistem beralih kepada keadaan ‘kepebagaian bio berdaya rendah’ (low-diversity resilient state).

Menurutnya, kajian dan ulasan saintifik menunjukkan sedimen yang terlalu tepu dalam sungai boleh menurunkan kemandirian spesies ikan, menurunkan pemuliharaan secara semulajadi dan gangguan kitaran makanan, kesan kronik kekal walaupun tempoh pemulihan semula pencemaran sumber air boleh berlaku dalam tempoh singkat.

Katanya, rekod pencemaran di Johor yang pernah dilaporkan di media menyokong beberapa kesan corak ini, antaranya pada November 2017, ladang ayam atau kilang baja najis ayam diarah tutup kerana parameter seperti ammonia telah mencemari sistem Sungai Johor atau Sayong.

“Malah pada April 2019, dilaporkan tindakan penutupan kilang sawit akibat pencemaran serta pada 31 Oktober 2025: kolam takungan (silt pond) lombong pasir pecah hingga kekeruhan air mentah telah mencecah 37,400 NTU.

“Bagi perspektif ini, air terawat perlu mematuhi amalan baik biasanya <0.3–1.0 NTU; lonjakan nilai NTU di atas 0.3 NTU dianggap fasa berisiko dan perlu diurus dengan bertahap.

“37,400 NTU semasa isu pencemaran baru-baru ini telah menunjukkan beban sedimen luar biasa iaitu mencetus ‘mode kecemasan’ di LRA (pengurangan kadar alir atau penutupan, pencairan dari empangan) yang boleh meningkatkan masalah pengelodakan dan masalah pembersihan di loji rawatan.

“Kematian ikan dan gangguan bekalan air yang dilaporkan adalah berpadanan dengan mekanisme ini.

“Bagi kesan jangka panjang (minggu hingga bulan), kelodak boleh menimbus dasar/spawning bed dan seterusnya mengubah komposisi makroinvertebrata (rantaian makanan), menekan spesies sensitif dan mengekalkan hanya spesies berdaya tahan serta menyebabkan sumber makanan merosot teruk.

“NTU lazimnya boleh turun dalam hari ke minggu selepas sumber dihentikan dan pelepasan pencairan dibuat (seperti pelepasan air tadahan di Linggiu) hanya boleh diketahui dalam tempoh sehingga lima hari),” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun habitat dasar dan komuniti biologi akan mengalami proses kemerosotan dan sukar untuk dipulihkan semula.

Menurutnya, kajian penyelidikan umum menunjukkan pemulihan indikator (alga/makroinvertebrat) lazimnya sehingga beberapa bulan dan struktur komuniti bio-kepelbagaian ini boleh mengambil hingga kira-kira 1 tahun bergantung saiz kerosakan dan kitaran hidrologi.

“Untuk perikanan sangkar, kitaran tuai lazim 1.5 hingga 3 bulan bermakna satu musim hasil mungkin hilang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top