Suara emas gadis berhijab pikat peminat kaum Cina

Suara emas gadis berhijab pikat peminat kaum Cina


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penampilannya yang berhijab tidak menghalang gadis ini untuk meneruskan minatnya dalam bidang nyanyian hingga bergelar penyanyi walaupun masih bersekolah.

Buktinya, Fatimah Noryyah Mohd Noor Kosygin, 17, atau dikenali Fatimah Noryyah diterima baik lebih-lebih lagi kerana kebolehannya menyanyi dalam bahasa Mandarin hingga pernah mewakili negara dalam satu pertandingan di China pada 2019.

Berkongsi kisahnya, Fatimah Noryyah berkata, minat dalam nyanyian bermula sejak kecil lagi iaitu ketika berusia empat tahun namun mula menyertai pertandingan menyanyi ketika Tahun Tiga.

“Keluarga minat menyanyi dan emak (Arba’a Ali, 53,) pun beri pendedahan dan galakan jadi itu yang menyuntik semangat saya untuk terus aktif.

“Kali pertama saya masuk pertandingan ketika umur sembilan tahun dan ketika itu dapat tempat kedua.

“Saya bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan kerana itu boleh bercakap dan tak ada masalah menyanyi dalam bahasa Mandarin,” katanya kepada Harian Metro.

Fatimah Noryyah mengakui kebolehan bertutur dan menyanyi dalam bahasa Mandarin memberi kelebihan buatnya kerana menjadi pilihan penganjur acara atau klien bukan Melayu.

Katanya, di TikTok juga, ramai dalam pengikutnya terdiri daripada kaum Cina.

“Saya aktif di TikTok sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu dan banyak muat naik video menyanyikan lagu Mandarin dan perkongsian begitu yang boleh meraih tontonan tinggi.

“Ramai yang puji tapi ada juga beri teguran positif untuk bantu saya betulkan sebutan selain persoalkan kenapa tidak nyanyi dalam bahasa Arab.

“Saya terima saja komen diberi, tak ambil hati pun. Cuma apa saya boleh katakan, saya gembira diterima baik dengan imej begini.

“Ketika di China dulu pun, saya satu-satunya peserta Melayu tapi dapat layanan baik malah kami boleh berkawan dan menangis ketika rakaman episod terakhir. Semua kerana persahabatan kami yang istimewa dan bersatu pun kerana muzik,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu menganggap kebolehan menyanyi sebagai satu anugerah jadi dia akan menggunakan bakat dikurniakan Allah SWT dengan sebaiknya.

“Harapan saya nak terus menyanyi kalau boleh sampai ke luar negara terutama China kerana ada juga peminat di sana.

“Bagi saya, menyanyi pun cara saya nak sumbangkan sesuatu buat negara jika mampu sampai ke peringkat antarabangsa.

“Bab pelajaran pula tetap menjadi keutamaan dan setakat ini tak ada masalah kerana dapat bahagikan masa dengan baik. Lagipun, bukan setiap hari saya terima undangan menyanyi dan tak perlu belajar 24 jam sehari,” katanya yang menjadikan Datuk Sheila Majid sebagai idolanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top