Tiga kumpulan terkenal dari dunia alternatif dan pop moden, For Revenge, Insomniacks dan Midnight Fusic bakal bergabung dalam konsert istimewa berjudul Malam Simfoni Luka yang dijadual berlangsung pada 24 Januari 2026 di Megastar Arena, Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.
Acara ini dijanjikan sebagai sebuah perjalanan muzik yang menyentuh jiwa, menampilkan gabungan melodi dan lirik penuh perasaan yang menggambarkan cinta, kehilangan dan kekuatan untuk bangkit semula.
Dikenali dengan gaya post-hardcore yang penuh intensiti, For Revenge bakal menyalurkan semangat dan emosi mendalam, manakala Insomniacks tampil dengan pesona pop moden yang segar dan Midnight Fusic pula membawa suasana dreamy serta melankolik ke pentas.

Gabungan tiga kumpulan ini pasti mencipta malam yang penuh getaran dan kenangan buat penggemar muzik tempatan serta rantau Asia.
“Konsert ini bukan sekadar pentas hiburan. Ia simbolik kepada perjalanan emosi iaitu luka, penyembuhan dan kekuatan yang lahir daripadanya. Kami mahu penonton merasai setiap emosi yang disampaikan melalui muzik,” ujar wakil penganjur mengenai konsep pementasan itu.

Selain persembahan utama, Malam Simfoni Luka turut menampilkan pencahayaan sinematik, susunan muzik yang diolah khas untuk malam tersebut serta paparan visual eksklusif yang bakal membawa penonton menyelami makna di sebalik setiap lagu.
Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 14 November 2025, Jumaat jam 3 petang melalui laman rasmi www.ticket2u.com.my.





