Selepas 230 tahun, AS cetak syiling 1 sen terakhir

Selepas 230 tahun, AS cetak syiling 1 sen terakhir


Washington: Amerika Syarikat (AS) mencetak sen terakhir untuk edaran pada Rabu, dalam langkah yang dibuat untuk menjimatkan wang kerana denominasi syiling satu sen menjadi kurang relevan dari semasa ke semasa.

Syiling terakhir itu dihasilkan di Philadelphia oleh Bendahari AS Brandon Beach, dan secara rasminya menamatkan pengeluaran satu sen yang diedar selama 232 tahun.

“Walaupun pengeluaran umum berakhir hari ini, legasi sen itu terus hidup,” kata pemangku pengarah Mint,

Kristie McNally dalam satu kenyataan.

Mint ialah agensi kerajaan AS yang bertanggungjawab mencetak dan mengumpulkan syiling negara itu.

Syiling itu kekal sah, dan terdapat kira-kira 300 bilion sen itu dalam edaran.

Pengakhiran pengeluaran berlaku selepas Presiden Donald Trump meminta Perbendaharaan pada bulan Februari lalu untuk berhenti menghasilkan syiling satu sen, membentangkannya sebagai usaha untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Terlalu lama AS mencetak syiling satu sen yang secara literalnya menelan belanja lebih daripada dua sen. Ini sangat membazir!” tulis Trump di platform Truth Social beliau pada masa itu.

Syiling satu sen pertama kali dibenarkan oleh Akta Syiling 1792.

Pada mulanya, ia diperbuat daripada tembaga tulen, tetapi syiling hari ini lebih kecil dan diperbuat daripada zink bersalut tembaga, memberikan warna merah.

Dekad lalu, kos pembuatan setiap syiling meningkat daripada AS$1.42 sen kepada AS$3.69 sen, kata Mint pada Rabu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top