Jangan bimbang, tiada tindakan terhadap Teresa – sindir Ahmad Fadhli  

Jangan bimbang, tiada tindakan terhadap Teresa – sindir Ahmad Fadhli  


KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok susulan kenyataan kontroversinya mengenai pensijilan halal.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis berkata, DAP memiliki kerusi terbesar dalam kerajaan dan sudah pasti Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berani untuk mempertahankan pemimpinnya.

“Tahniah Anthony Loke, parti kita parti terbesar. Kita punya kerusi terbanyak. Apa nak hairan dengan PMX, tanpa kita dia akan jadi XPM bukan PMX.

“Walaupun PMX kesal dengan kenyataan Teresa Kok, jangan bimbang tiada tindakan undang-undang akan diambil walaupun laporan polis sudah dibuat dan terang-terang disebut isu halal ini akan malukan negara.

“Setelkan sahaja senyap-senyap. Nanti Alex Ferguson call minta sign,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahmad Fadhli berkata demikian sebagai mengulas pendirian Loke yang mempertahankan tindakan Teresa mempersoal cadangan untuk mewajibkan semua syarikat pengusaha makanan termasuk restoran yang memiliki sijil halal.

Terdahulu, DAP menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, berhubung isu pensijilan halal sebagai mewakili kebimbangan masyarakat bukan Islam.

Loke berkata, pandangan diberikan itu adalah maklum balas daripada pemilik restoran-restoran bukan Islam yang bimbang bahawa perniagaan mereka juga akan diwajibkan mendapatkan pensijilan halal.

Malah katanya, parti komponen Pakatan Harapan (PH) berharap isu pensijilan halal yang terpalit dengan Teresa tidak dipolemikkan dan menyifatkan kenyataan itu sekadar menyuarakan kebimbangan pengundi di kawasannya.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya akan memanggil Teresa untuk memberikan keterangan.

Katanya, langkah itu dilaksanakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Razarudin turut memaklumkan, siasatan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini dilapor mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Teresa dalam kenyataannya mendakwa cadangan pensijilan halal itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top