Malaysia terus perkukuh hab halal global – Mat Sabu

Malaysia terus perkukuh hab halal global – Mat Sabu


SERDANG: Malaysia terus memperkukuhkan kedudukan berhubung isu hab halal global susulan kenyataan bertentangan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang lebih bersifat pandangan peribadi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau mengulas mengenai kontroversi yang timbul apabila Teresa menyatakan cadangan untuk mewajibkan syarikat makanan dan restoran yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Ahli Parlimen Seputeh itu dilaporkan berkata, jika pensijilan halal ini diwajibkan, ia bukan sahaja akan mencetuskan reaksi negatif dalam negara, malah mungkin memalukan negara di peringkat antarabangsa.

Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai pandangan tersebut.

“Tak perlu komen apa tentang kenyataan itu sebab itu merupakan pandangan peribadi dan Malaysia terus kukuh dalam hal bab halal.

“Pandangan itu bersifat peribadi. Bagi saya, isu kontradiksi ini akan terus timbul setiap minggu setiap hari tetapi ia hanya berlalu begitu.

“Yang penting Malaysia memang terkenal dengan hab halal terutama di seluruh dunia sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Media Tour Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 bersama Menteri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kenyataan Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH).

Beliau dilaporkan berkata, kenyataan Kok itu antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Malah, Anwar turut menasihati pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu dapat diteliti secara menyeluruh.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top