Fenomena cinta remaja era awal 2000-an kembali mencuri perhatian apabila filem terbaharu, Rangga & Cinta mengetengahkan semula suasana klasik yang pernah menghangatkan layar menerusi Ada Apa Dengan Cinta? (AADC).
Diarahkan pengarah tersohor Indonesia, Riri Riza bersama penerbit prolifik Mira Lesmana, filem terbitan Miles Films itu tampil sebagai karya periodik yang membawa penonton ‘mengundur masa’ ke zaman surat cinta, rindu bertulis dan renungan malu-malu.
Menurut Riri, pendekatan mengekalkan gaya visual 2000-an dilakukan bagi memastikan jiwa penceritaan tidak lari daripada elemen asal yang pernah memikat penonton.
“Filem ini menceritakan satu waktu yang sangat spesifik. Sikap mental wataknya juga masih sama seperti era itu,” katanya.
Sementara itu, Mira menegaskan estetika era tersebut adalah sebahagian identiti dunia AADC.
“Kalau visual dimodenkan, detik menunggu, pandangan jauh dan rindu tersimpan itu akan hilang,” jelasnya.
Walaupun sarat elemen retro, filem ini bukan sekadar bermain nostalgia. Ia turut menjadi jambatan kepada penonton muda untuk memahami bagaimana percintaan berkembang sebelum telefon pintar dan media sosial menguasai hidup.
Dengan sinematografi sederhana, tanpa efek berat atau filter moden, Rangga & Cinta memberi ruang kepada emosi, dialog dan kejujuran watak untuk menonjol.
Ketiadaan WhatsApp, voice note atau media sosial menjadikan konflik romantik dalam filem ini lebih realistik, rindu lebih panjang, salah faham lebih mendalam dan pertemuan tidak dijangka lebih bermakna.
Walaupun membawa semangat yang pernah mempopularkan AADC, filem ini hadir sebagai naskhah baharu yang menampilkan pelakon muda dengan interpretasi tersendiri, namun tetap mengekalkan DNA visual dan emosi yang membuatkan AADC kekal ikonik.
Rangga & Cinta kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, mengundang penonton mengimbau semula getaran cinta remaja yang tidak lekang dek masa.






