Rezeki terasa sempit? Mungkin berikut sebabnya

Rezeki terasa sempit? Mungkin berikut sebabnya


WALAUPUN baru sahaja memulakan hari, perjalanan menuju ke tempat kerja sudah dipenuhi dengan wajah yang lesu.

Ya, ada yang bekerja bukan kerana minat, tetapi disebabkan oleh tanggungjawab dan komitmen.

Namun dalam diam, rungutan kecil seperti ‘Saya tak ‘hadap’ pun kerja ini’ atau ‘Saya boleh cari kerja lain’ terbit dalam hati.

Ucapan sebegitu barangkali dianggap biasa atau sekadar meluahkan rasa. Hakikatnya, tanpa sedar, ia mungkin menjadi antara punca rezeki tersekat.

Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, sikap tidak menghargai pekerjaan sedia ada boleh menjadi sebab mengapa seseorang itu tidak merasakan keberkatan dalam rezekinya meskipun sudah lama berkhidmat.

USTAZAH ASMA’

Jelas beliau, terdapat segelintir orang yang sejak dari awal bekerja sudah menanam niat untuk tidak kekal lama di tempat itu, seolah-olah tidak pernah reda dengan rezeki yang diberikan.

“Ada orang dari tahun pertama bekerja, dia sudah ‘meratib’ (seperti) ‘Aku tak hadap pun kerja di sini, aku boleh cari saja kerja lain’.

“Sampai 10 tahun masih samalah ayat itu diulang-ulang, tak berhenti-henti juga,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

“Kita tahu di luar sana ada orang (kerja) 10 tahun gaji tak naik, kerja sudah lama, kena potong gaji.

“Ada pula syarikat bermasalah, tiga atau lima bulan tak dapat gaji. Sebab itu, poin pertama pembuka rezeki adalah syukur,” katanya.

SETAIP kali berasa tertekan dengan kerja, lidah, akal dan hati tidak lagi benar-benar menghargai nikmat yang ada. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

SETAIP kali berasa tertekan dengan kerja, lidah, akal dan hati tidak lagi benar-benar menghargai nikmat yang ada. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Menurut penceramah terkemuka itu, ALLAH SWT telah pun menjanjikan dalam al-Quran bahawa rasa syukur adalah kunci kepada penambahan nikmat.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan tambahi nikmat-KU kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-KU amatlah keras.” (Surah Ibrahim: 7)

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ turut menegur sikap sesetengah individu yang terlalu cepat melabel suasana kerja sebagai ‘toksik’ tanpa menyedari mungkin diri sendiri yang menyumbang kepada ketegangan tersebut.

“Ramai mana orang yang sudah berada di institusi yang sangat baik, stabil dan persekitaran kerja yang sihat.

“Biasalah, kita kata ‘toksik’ (di tempat kerja) dan sebagainya, tapi selalunya yang suka melabel itu jugalah yang sebenarnya toksik,” ujar beliau.

Bukan itu sahaja, beliau menambah, ada antara kita yang sejak dari awal bekerja sudah menanam niat untuk tidak kekal lama di tempat kerja mereka seolah-olah tidak pernah reda dengan rezeki yang diberikan.

KEBERKATAN rezeki bukan diukur pada jumlah angka gaji, tetapi pada rasa cukup dan ketenangan yang ALLAH kurniakan kepada mereka yang benar-benar ikhlas dan bersyukur. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

KEBERKATAN rezeki bukan diukur pada jumlah angka gaji, tetapi pada rasa cukup dan ketenangan yang ALLAH kurniakan kepada mereka yang benar-benar ikhlas dan bersyukur. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Lebih membimbangkan apabila rungutan itu menjadi kelaziman setiap kali berasa tertekan dengan kerja hingga lidah, akal dan hati tidak lagi benar-benar menghargai nikmat yang ada.

Kesannya, seseorang itu mungkin memiliki pekerjaan yang baik dan pendapatan yang stabil, namun tetap merasa tidak tenang dan sentiasa kekurangan.

“Nikmat ada, tapi terhalang untuk dinikmati. ALLAH bagi rezeki, tapi sentiasa tak cukup dan tak beri kebahagiaan,” ungkapnya.

Beliau menegaskan, keberkatan rezeki bukan diukur pada jumlah angka gaji, tetapi pada rasa cukup dan ketenangan yang ALLAH kurniakan kepada mereka yang benar-benar ikhlas dan bersyukur.

“Ada orang walaupun gajinya sikit, mungkin RM1,000 atau RM2,000 lebih, tapi dia buat kerja macam (gaji) RM4,000 atau RM5,000. Insya-ALLAH, gaji dia, kualiti hidup dia memang umpama RM3,000 atau RM4,000.

“Segelintir orang gaji mungkin besar, tapi cara kerja, budaya kerja dan amanah (yang dilakukan) seperti orang bergaji kecil atau bukan pada kedudukan yang sepatutnya. Akhirnya hidupnya sentiasa tak cukup,” ungkapnya.



Source link

OR

Scroll to Top