Guru asrama dedah tiada taklimat pengawasan sebelum insiden Zara jatuh

Guru asrama dedah tiada taklimat pengawasan sebelum insiden Zara jatuh


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Guru asrama yang memberi keterangan pada hari ke-37 prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, hari ini memaklumkan tidak pernah menerima taklimat mengenai pengawasan asrama sebelum kejadian menimpa pelajar Tingkatan Satu itu.

Saksi ke-45, Addorie Francis ialah guru Sains dan Matematik kelas Zara sejak Februari 2025 dan seorang guru lantikan kontrak interim yang masih dalam tempoh percubaan.

Menurut kenyataan media pasukan guaman yang mewakili ibu arwah, saksi menyatakan Zara adalah seorang pelajar yang ceria dan menghormati guru.

Kenyataan itu turut menyebut saksi terbabit pertama kali ditugaskan sebagai guru asrama sejak Februari lalu dan tugas guru asrama meliputi pemantauan kebersihan, mengurus pelajar sakit serta memantau kelas prep malam.

“Saksi berkata pihak sekolah tidak pernah memberi taklimat kepada guru asrama mengenai pelajar asrama.

“Saksi juga tidak mengetahui mengenai sistem pelajar senior sebagai ketua dorm untuk memantau pelajar-pelajar junior di blok asrama,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sesi kelas prep malam berlangsung dari jam 8 malam hingga 10 malam dengan guru asrama hanya memantau pelajar di blok kelas sebelum pulang ke rumah masing-masing tanpa arahan rondaan malam.

“Sesi kelas prep malam pelajar Tingkatan Satu hingga Empat adalah jam 8 ke 10 malam. Biasanya guru asrama cuma akan memantau pelajar di blok kelas prep saja,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, terdapat lapan guru asrama dan sembilan warden asrama, namun guru asrama tidak menerima elaun seperti warden.

Pada 15 Julai lalu, saksi berada di luar sekolah dari jam 6 pagi hingga 5 petang untuk mengiringi pelajar ke pertandingan Gami-code di Sekolah Menengah (SM) All Saints, Kota Kinabalu sebelum pulang ke kuarters selepas prep malam.

Menurut kenyataan itu lagi, saksi hanya mengetahui mengenai kejadian pelajar jatuh pada 16 Julai lalu selepas dimaklumkan oleh seorang warden pada jam 5.47 pagi.

“Cikgu Rohayati meminta saksi untuk menjaga rakan bilik dorm Zara dan memberitahu saksi ‘Ada pelajar jatuh dan patah kaki’.

“Saksi berkata dia tidak dapat membuat tugasan itu kerana dia ada tugasan di luar (iaitu) SM All Saints, Kota Kinabalu pada hari yang sama,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sebelum kejadian Zara, tidak ada sebarang kaedah merekodkan rondaan bagi guru asrama dan selepas kejadian, saksi berkata, pihak pengurusan sekolah memberi arahan untuk membuat rekod rondaan.

Saksi turut menyatakan bahawa rekod rondaan dibuat melalui kaedah ‘roll call’ yang dimaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Dalam pada itu, saksi ke-46, Gloria Theresa Thien Pet Yee, guru Bahasa Inggeris dan guru asrama, turut memberi keterangan pada prosiding hari ini.

Menurut kenyataan itu, Gloria hadir pada pertemuan guru dan warden di dewan makan asrama pada pagi 16 Julai lalu dan mendengar perbincangan mengenai kejadian malam sebelumnya.

“Saksi berkata antara perkara perbincangan warden adalah mengenai insiden perbalahan malam itu di mana Zara berjumpa pelajar senior dan ada tuduhan kes kecurian.

“Saksi ada dengar Zara ‘confronted’ oleh pelajar senior oleh kerana kes kecurian seorang pelajar junior yang membabitkan wang tunai,” katanya.

Gloria kemudian dibawa ke musolla sekitar jam 10.30 pagi untuk sesi soal jawab bersama pelajar Tingkatan Satu dan empat berkaitan kejadian malam 15 Julai lalu.

Menurut kenyataan itu, saksi turut mendengar maklumat mengenai diari milik Zara daripada seorang pelajar senior.

“Saksi mendengar seorang pelajar senior Tingkatan Empat memaklumkan mengenai kewujudan diari milik Zara. Pada mulanya, saksi ingat pelajar ini ahli dorm Zara, tetapi sebenarnya pelajar ini tinggal di bilik lain.

“Pelajar senior terbabit menyerahkan dua diari berwarna hijau dan ungu dan menyerahkan kepada Cikgu Yuslina. Saksi berkata pelajar itu memaklumkan yang dua buku diari diambil dari almari Zara.

“Selepas serahan buku kepada Cikgu Yuslina, saksi meninggalkan musollah seketika untuk ke kantin, mengambil sarapan. Semasa saksi balik ke musolla, saksi nampak para warden iaitu Cikgu Yuslina dan Cikgu Fatimah berbincang dan membaca buku-buku diari Zara tersebut,” katanya.

Prosiding inkues bersambung esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top