Malaysia antara kadar internet termurah, 5G terpantas Asia Tenggara – Fahmi Fadzil

Malaysia antara kadar internet termurah, 5G terpantas Asia Tenggara – Fahmi Fadzil


Malaysia antara kadar internet termurah?

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Malaysia kini mempunyai antara kadar internet termurah bagi setiap gigabait di dunia.

Ia sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan memastikan akses digital yang inklusif dan mampu milik untuk rakyat.

Beliau berkata Malaysia turut berjaya melaksanakan rangkaian 5G pada kadar yang sangat pantas dan ketika ini berada pada kedudukan terpantas di Asia Tenggara serta kedua terpantas di Asia Pasifik selepas Korea Selatan.

“Kita adalah antara 10 negara yang kadar Internetnya bagi setiap gigabait berharga sekitar 2 sen,” katanya.

Malaysia antara kadar internet termurah

Menurut Fahmi, sebelum ini jarang sekali berlaku situasi di mana syarikat telekomunikasi duduk bersama dan mencapai satu bentuk konsensus, namun perkara itu kini dapat direalisasikan melalui kerjasama erat semua pihak.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Bersama Diaspora Malaysia di Rumah Malaysia dalam lawatan kerja di Baku, Azerbaijan pada Ahad.

Fahmi berada di Azerbaijan dari 16 hingga 19 November bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25).

Jelas beliau, penyertaan Malaysia dalam persidangan tersebut adalah sebahagian usaha mengekalkan kerusi negara dalam Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027 hingga 2030, susulan pengumuman pencalonan semula negara pada Julai lalu.

Beliau turut berkongsi perkembangan negara kepada diaspora Malaysia termasuk kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pada Oktober lepas, yang menurutnya sekali lagi membuktikan kekuatan diplomatik Malaysia di peringkat global.

“Saya rasa kita telah berjaya mengubah persepsi masyarakat bukan sahaja terhadap Malaysia tetapi juga ASEAN. Sebagai sebuah rantau yang mempunyai 660 juta penduduk, ASEAN adalah satu setengah kali lebih besar daripada Kesatuan Eropah.”
“Kita juga mempunyai masa depan yang cerah sekiranya kita kekal bersatu, membina komuniti ASEAN serta memastikan keamanan dan kestabilan dalam rantau ini,” katanya.

Artikel lain: Wartawan berhak bertanya sebarang soalan, menteri kena jawab profesional – Fahmi Fadzil

Majlis itu turut dihadiri Penasihat Kanan Hal Ehwal Antarabangsa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Mohd Riza.

Ahmad Kamrizamil dalam ucapannya berkata kehadiran Fahmi ke WTDC-25 membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Azerbaijan.

“Persidangan itu bukan sahaja memberi peluang untuk membincangkan isu-isu strategik tetapi juga memperluas kerjasama dalam bidang komunikasi, teknologi dan digital,” katanya.

Seorang rakyat Malaysia yang telah menetap di Azerbaijan selama 18 tahun, Kelvin Chong, turut menyuarakan rasa bangga terhadap perkembangan negara serta melahirkan keterujaan dapat bertemu dengan Fahmi untuk mengetahui lanjut mengenai agenda komunikasi negara.

“Beliau berkongsi dengan kami banyak maklumat dan perkembangan terbaru.
“Negara (Malaysia) semakin maju dan kami amat bangga serta gembira dengan perkara itu,” katanya yang juga pengasas Culinary Arts Centre of Azerbaijan (CASA).

Kelvin berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan datang ke Azerbaijan untuk menikmati keindahan negara itu dan mengenali budayanya dengan lebih dekat.

Sumber: BERNAMA





Source link

OR

Scroll to Top