Tawau: Pakatan Harapan (PH) meletakkan keyakinan penuh terhadap calon mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, dengan menegaskan bahawa beliau berkeupayaan melaksanakan agenda reformasi bukan sekadar di kawasan itu, malah di peringkat negeri Sabah.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kombinasi pengalaman luas Ruji dalam pentadbiran kerajaan serta rekod perkhidmatannya di peringkat Persekutuan menjadikan beliau calon paling berwibawa untuk membawa perubahan menyeluruh.
Beliau berkata, latar belakang Ruji sebagai anak jati Merotai turut memberi nilai tambah kerana beliau memahami karakter dan keperluan setempat.
“Daripada segi sosok dan personaliti calon, beliau adalah tawaran terbaik yang PH berikan kepada pemilih Merotai. Calon yang kami letakkan di sini adalah anak jati Merotai yang mempunyai pengalaman luas daripada segi pentadbiran.
“Kejayaan meletakkan beliau sebagai wakil rakyat akan membolehkan penduduk mempunyai seorang pemimpin yang mudah memahami urusan rakyat dengan pentadbiran kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Santai Madani di Dewan Serbaguna Merotai Besar.
Saifuddin berkata, pengalaman Ruji berkhidmat sebagai pegawai Persekutuan di Sabah turut menjadi kelebihan kerana beliau memahami dinamik hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sendiri menyatakan keyakinan tinggi terhadap beliau.
“Kalau Perdana Menteri sudah meletakkan kepercayaan kepada beliau, kita minta rakyat Merotai turut memberikan kepercayaan yang sama.
“Malah Datuk Ruji juga mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Perdana Menteri, menjadikan proses perbincangan dan penyelesaian isu lebih mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan jentera PH berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi selepas berjaya menembusi semua daerah mengundi sejak hari pertama kempen PRN Sabah ke-17.
© New Straits Times Press (M) Bhd






