asmaini@mediaprima.com.my
DISEBABKAN faktor lokasi matang, harga lebih stabil dan kemudahan lengkap tersedia, ramai menjadikan rumah ‘subsale’ atau sedia ada sebagai pilihan.
Namun, sentiasa waspada kerana tanpa pengetahuan asas, pembeli boleh berdepan pelbagai risiko termasuk penipuan, rumah rosak teruk atau kos tersembunyi yang tidak dijangka.
Berikut beberapa panduan penting yang perlu diberi perhatian sebelum membuat keputusan besar membeli rumah subsale.
Kenal Pasti Kemampuan Kewangan
Sebelum jatuh hati pada mana-mana unit, pembeli disaran menyemak kemampuan kewangan terlebih dahulu.
Nisbah bayaran hutang lazimnya tidak boleh melebihi 30 hingga 40 peratus daripada pendapatan.
Ini kerana, selain deposit 10 peratus, pembeli juga perlu bersedia dengan kos lain seperti yuran guaman, duti setem, laporan penilaian bank dan sedikit dana tambahan untuk baik pulih rumah jika diperlukan.
Lokasi
Lokasi kekal faktor paling besar dalam menentukan nilai sesebuah hartanah.
Justeru, pastikan kawasan pilihan mempunyai akses mudah ke lebuh raya, pengangkutan awam, sekolah, hospital dan kedai runcit.
Elakkan kawasan yang kerap dilanda banjir atau mempunyai rekod keselamatan yang meragukan.
Guna Khidmat Ejen Berdaftar
Ramai pembeli terpedaya kerana berurusan dengan individu tidak bertauliah.
Ejen berdaftar mempunyai nombor pendaftaran yang sah dan bekerja di bawah agensi diiktiraf.
Mereka bukan sahaja membantu mencari unit sesuai, tetapi turut mengurus proses rundingan, semakan dokumen dan koordinasi bersama bank serta peguam.
Periksa Rumah Secara Menyeluruh
Jangan terburu-buru, sebaliknya luangkan masa meneliti keadaan rumah dengan teliti terutama di kawasan bumbung, siling, pendawaian elektrik, tekanan air, paip, dinding dan lantai.
Ambil Gambar dan Video Sebagai Rujukan
Jika rumah pernah didiami penyewa, tanya berkaitan rekod penyelenggaraan dan keadaan semasa perabot atau kelengkapan, jika ada.
Semak Dokumen Pemilikan
Antara aspek paling kritikal dan pastikan geran atau strata title adalah sah.
Semak juga status sama ada pegangan bebas (freehold) atau pajakan (leasehold) mahupun sama ada unit itu lot Bumiputera atau sebaliknya.
Bakal pembeli juga perlu menyemak jika ada tunggakan cukai pintu, cukai tanah atau kos penyelenggaraan lain.
Pastikan juga tiada kaveat, masalah pindah milik atau sekatan lain yang boleh melambatkan proses jual beli.
Bijak Berunding Harga
Sentiasa rujuk harga transaksi semasa melalui laman hartanah atau laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Jika rumah memerlukan baik pulih, gunakan faktor itu untuk rundingan harga yang lebih adil kerana sesetengah pemilik juga bersedia menyerap sebahagian kos pembaikan kecil.
Bayar Tempahan Mengikut Peraturan
Ramai tidak sedar, bayaran tempahan rumah subsale tidak boleh sewenang-wenangnya dibayar kepada akaun individu.
Sebaliknya ia mesti dibayar kepada agensi yang berdaftar dan tidak melebihi tiga peratus daripada harga rumah.
Pembeli perlu menerima resit rasmi dan surat tawaran (Letter of Offer) yang menyatakan syarat jelas, termasuk pulangan wang jika pinjaman tidak diluluskan.
Pilih Peguam yang Tepat
Pemilihan peguam berpengalaman dalam hartanah subsale dapat membantu menyemak geran, menyediakan Perjanjian Jual Beli (SPA) dan mengurus proses pindah milik.
Disarankan pembeli tidak menggunakan peguam yang sama dengan penjual bagi mengelakkan konflik kepentingan.
Dapatkan Pinjaman Sesuai
Untuk peluang lebih tinggi, mohonlah pinjaman daripada sekurang-kurangnya dua atau tiga bank.
Anda boleh memilih pakej yang mempunyai kadar faedah rendah, tempoh lock-in pendek dan jika perlu pilih pakej pinjaman flexi yang menjimatkan faedah dalam jangka panjang.
Pemeriksaan Akhir
Sebelum mendapat kunci, anda digalakkan melakukan pemeriksaan terakhir bagi memastikan rumah berada dalam keadaan yang dipersetujui.
Jika rumah masih berpenghuni, pastikan ia diserahkan kosong tanpa barang tertinggal.
Kesimpulannya, membeli rumah subsale memerlukan ketelitian dan kesedaran terhadap prosedur yang diperlukan.
Dengan persediaan rapi, pembeli bukan sahaja dapat mengelakkan kerugian, malah mampu memiliki rumah idaman di lokasi strategik tanpa tekanan kewangan melampau.
© New Straits Times Press (M) Bhd





