Bayi pramatang 640 g selamat selepas bertarung nyawa 90 hari

Bayi pramatang 640 g selamat selepas bertarung nyawa 90 hari


New Delhi: Seorang bayi pramatang yang dilahirkan pada usia kandungan hanya 24 minggu dan seberat 640 gram (g), terselamat selepas 90 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Fortis , Vasant Kunj di sini.

Memetik laporan NDTV, bayi itu yang dilahirkan 16 minggu lebih awal daripada tempoh matang 40 minggu, menghadapi cabaran kesihatan yang serius sekali gus meletakkannya di ambang kelangsungan hidup.

Beratnya jauh di bawah purata normal dan tidak menunjukkan tanda-tanda menangis semasa kelahiran, manakala kadar degupan jantungnya sangat rendah mencetuskan kebimbangan segera.

Doktor di hospital itu, Vasant Kunj menyifatkan kelangsungan hidup bayi itu sebagai “keajaiban micro preemie,” memandangkan bayi yang dilahirkan terlalu awal biasanya menghadapi kemungkinan yang amat sukar.

Pasukan pakar kanak-kanak dengan pantas memulakan resusitasi lanjutan dan meletakkan bayi itu di bawah jagaan rapi berterusan, menggunakan sokongan hayat dan pemantauan berterusan untuk menstabilkan keadaannya yang rapuh.

Bayi itu menghadapi pelbagai komplikasi yang mengancam nyawa termasuk fungsi paru-paru dan buah pinggang yang terjejas, risiko pendarahan otak, jangkitan dan ketidakstabilan kardiovaskular. Sepanjang minggu pertama, keadaannya semakin merosot apabila beratnya menurun kepada hanya 550 g.

Pasukan perubatan yang diketuai oleh Dr Rahul Nagpal dan Dr Shradha Joshi menyediakan rawatan rapi sepanjang masa termasuk sokongan ventilator jangka panjang, pengurusan bendalir yang teliti dan langkah kawalan jangkitan yang ketat.

Paru-paru bayi itu sangat kurang berkembang menjadikannya tidak mampu bernafas sendiri. Dia diletakkan pada sokongan ventilator lanjutan dengan ubat-ubatan penyelamat nyawa diberikan dalam dos yang diukur dengan teliti.

Keadaan semakin mencabar apabila buah pinggangnya yang belum matang bergelut untuk berfungsi dengan baik.

Walaupun kemungkinan sukar, pasukan neonatologi kekal komited menggunakan penjagaan yang teliti dan protokol rawatan khusus untuk menstabilkan keadaannya secara beransur-ansur.

Bercakap mengenai kes itu, Dr Rahul Nagpal yang juga Pengarah Utama dan Ketua Pediatrik dan Neonatologi di hospital itu berkata, kelangsungan hidup bayi yang lahir pada 24 minggu hanyalah antara 10 hingga 15 peratus.

Tetapi dengan penjagaan sepanjang masa, pengurusan bendalir yang berhati-hati dan kawalan jangkitan yang kukuh, pihaknya berjaya mencegah pendarahan otak dan jangkitan yang menjadi risiko paling berbahaya untuk bayi kecil sebegini.

“Kelangsungan hidup bayi ini menentang segala kemungkinan dan menjadi bukti hebat tentang apa yang boleh dicapai melalui penjagaan tepat pada masanya, ketepatan dan kerja berpasukan.

“Setiap gram penambahan berat adalah pencapaian penting bagi kami dan melihatnya pulang dalam keadaan sihat adalah detik kebanggaan,” katanya.

Perunding Kanan dalam Neonatologi di hospital itu, Dr Shradha Joshi pula berkata, bayi itu berjaya mengatasi setiap komplikasi yang dihadapinya selain turut memuji dedikasi kakitangan kejururawatan sepanjang tempoh pemulihan.

Selepas menghabiskan 90 hari di NICU, bayi itu dibenarkan keluar dengan berat 1.8 kilogram (kg).

Bayi yang kini berusia enam bulan dan seberat enam kg serta mempunyai penglihatan, pendengaran dan imbasan otak yang normal.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top