Serlah semangat pengembaraan dua roda

Serlah semangat pengembaraan dua roda


lizamridzuan@hmetro.com.my

Bau lumpur basah, bunyi deruman enjin dan desiran tayar menghentam laluan berbatu adalah suasana yang menyambut lebih 250 penunggang ketika Kawasaki Mega Trail Fun Ride 2025 yang berlangsung di Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Dalam cuaca pagi yang masih berkabus, komuniti ‘off-road’ dari seluruh Malaysia berhimpun dengan satu misi untuk menawan laluan mencabar sejauh 150 kilometer hingga ke Kampung Mat Daling, lokasi yang sinonim dengan pengembaraan hutan sebenar.

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) di bawah Kumpulan DRB-HICOM tampil sebagai penaja utama acara ini dan membawa bersama jentera Kawasaki yang menjadi nadi tunggangan sepanjang program.

Laluan bermula dari Galeri Mat Kilau itu menghidangkan pelbagai rintangan dan cabaran dari jalan balak licin, rentasan anak sungai, cerun sempit hingga kawasan berbatu yang benar-benar menguji stamina, fokus dan kawalan penunggang.

Trek yang direka khas itu juga memberi peluang kepada peserta merasai kekuatan sebenar jentera ‘off-road’ masing-masing dalam keadaan ekstrem sebegitu.

Dalam suasana penuh adrenalina, MODENAS turut mengambil kesempatan memperkenalkan dua model baharu iaitu Kawasaki KLX 230S dan KLX 230SM, masing-masing mewakili segmen ‘dual-sport’ dan ‘supermoto’ yang tampil dengan ciri baharu menjadikan ia lebih tangkas, ringan dan sesuai untuk pengembaraan moden.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan berkata, Kawasaki Mega Trail bukan sekadar tunggangan santai, sebaliknya satu suntikan semangat kepada jiwa pengembara.

“Ia adalah tentang persahabatan, kebebasan dan keberanian untuk mencabar diri di laluan yang tidak dijangka,” katanya.

Siri KLX 230 turut diperkenalkan kepada komuniti ‘off-road’ tempatan dan ia dibangunkan untuk penunggang yang mencari kelincahan, kestabilan dan keyakinan di mana sahaja permukaan laluan berada.

Kemeriahan acara pada hari itu ditambah dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah Kawasaki KLX 230S baharu, selain pingat penamat yang diberikan kepada semua penunggang yang berjaya menamatkan laluan mencabar tersebut.

Acara ini turut diserikan dengan jamuan BBQ dan tayangan video sorotan acara, menjadikannya lebih daripada sekadar tunggangan dan berubah menjadi festival ‘off-road’ yang mempertemukan pelbagai latar belakang dalam satu komuniti yang sama.

Dengan sokongan daripada penunggang, media dan agensi kerajaan, Kawasaki Mega Trail Fun Ride 2025 menjadi antara acara bermotosikal lasak paling dinanti di Malaysia dan bakal dianjurkan lagi pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top