Gajah liar musnah kebun, Orang Asli Kampung Gawin buntu hadapi musim tengkujuh

Gajah liar musnah kebun, Orang Asli Kampung Gawin buntu hadapi musim tengkujuh


am@hmetro.com.my

Gua Musang : Sebuah keluarga Orang Asli di Kampung Gawin, Pos Gob, di sini, terpaksa berputih mata apabila kebun ubi kayu dan padi bukit yang diusahakan dimusnahkan gajah liar, dua minggu lalu.

Lebih mengecewakan apabila ubi kayu yang ditanam sudah mengeluarkan hasil dan hanya menunggu masa untuk dituai.

Menurut Anit Aluj, 60, dia menyedari kejadian yang berlaku di kebunnya pada sebelah pagi 2 November lalu ketika datang ke kebun untuk menggali ubi kayu.

Katanya dia terkejut apabila melihat kebunnya dimusnahkan gajah liar walaupun kejadian itu bukan kali pertama berlaku di kebunnya miliknya.

“Melihat ubi kayu dan anak padi bukit yang rosak saya sangat kecewa. Besar harapan saya untuk menuai hasil kebun iaitu ubi kayu untuk dijadikan bekal pada musim tengkujuh ini.

“Kini saya buntu dan kecewa, dalam keadaan cuaca hujan setiap hari saya tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang atau Kuala Betis untuk membeli barangan keperluan.

“Ubi kayu dan padi bukit yang ditanam adalah sumber makanan kami penduduk Orang Asli di pedalaman. Kami hanya menyara keluarga dengan hasil tanaman, namun semuanya dimusnahkan gajah liar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Penghulu Kampung Gawin, Akek Bahir berkata, sepanjang tahun ini sudah lebih 10 kali berlaku serangan gajah liar terhadap kebun penduduk.

Katanya, kejadian terbaharu berlaku pada dua minggu lalu yang memusnahkan tanaman penduduk seperti ubi kayu, pokok pisang dan padi bukit.

“Lebih merisaukan kami apabila tiba musim tengkujuh, kami perlukan sediakan bekalan makanan bagi menghadapi cuaca hujan yang berterusan namun semuanya dimusnahkan gajah liar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top