am@hmetro.com.my
Kinabatangan: Selepas seminggu tempoh kempen Pilihan Raya Negeri PRN Sabah ke-17, Barisan Nasional (BN) Sabah muncul antara parti paling tersusun, stabil dan mendominasi naratif politik negeri hasil kekuatan koordinasi jentera serta kehadiran calon yang konsisten di lapangan, kata Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bung Moktar yang juga Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, berkata momentum itu dapat dilihat di hampir semua kawasan tumpuan PRN17 apabila gerakan jentera daripada pusat daerah mengundi hingga ke peringkat pedalaman menunjukkan penyelarasan yang lebih kemas berbanding minggu pertama, sekali gus memperkukuh kedudukan BN dalam peta kempen setakat ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan perkembangan kempen di semua lokasi calon bertanding bergerak dalam satu disiplin, ritma dan kekuatan yang memberi kelebihan kepada BN Sabah untuk menguasai minggu dan hari-hari penting sehingga hari pengundian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Memasuki minggu kedua kempen pilihan raya, beliau berkata, calon BN tidak putus-putus turun padang menghadiri program, walkabout, ceramah dan interaksi bersama pengundi dengan lebih dekat dibantu pendekatan komunikasi yang teratur serta kesediaan calon turun ke akar umbi sejak hari pertama kempen dibuka.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, kelebihan BN Sabah pada fasa awal ini bukan sekadar kekuatan mobilisasi, tetapi juga keupayaan menguasai perbualan masyarakat serta rangka mesej yang konsisten di seluruh kawasan.
“Jentera BN seluruh Sabah bukan sekadar bergerak, mereka mendahului. Kita kuasai naratif penyampaian, kita kuasai tumpuan rakyat, dan kita buktikan bahawa BN masih parti yang paling tersusun di Sabah,” katanya yang turut meninjau beberapa lokasi kempen sejak hari pertama.
Bung Moktar juga berkata, kekuatan media sosial dan konsistensi kehadiran calon BN di lapangan turut dilihat menjadi faktor utama yang membantu BN menguasai naratif, mesej pembangunan serta imej BN Sabah sebagai parti paling tersusun kekal menjadi tema utama sepanjang minggu pertama.
Struktur kerja dan koordinasi jentera ujarnya terus diperhalusi bagi memastikan minggu kedua kempen lebih agresif dan berimpak tinggi untuk semua calon BN.
Beliau turut optimis BN Sabah berada pada landasan kukuh selepas seminggu tempoh kempen PRN17, dengan keyakinan bahawa kekuatan jentera dan penguasaan naratif akan diterjemahkan kepada sokongan di hari pengundian.
BN Sabah mempertaruhkan 45 kerusi pada PRN17 sekali gus mengukuhkan semula pengaruh politiknya di peringkat negeri dengan pemilihan kerusi yang dianggap strategik serta mempunyai potensi kemenangan tinggi berdasarkan kekuatan jentera, demografi pengundi dan rekod prestasi wakil rakyat sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






