GANDINGAN beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dilihat berada di landasan tepat untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA yang bakal membuka tirai di Thailand, bulan depan.
Kejayaan merangkul gelaran juara Terbuka Australia serta status sebagai juara dunia yang dilakar pada Ogos lalu menjadi senjata ampuh buat pasangan ini untuk mendominasi temasya dwitahunan tersebut.
Biarpun memiliki reputasi gah, pasangan ranking keempat dunia itu diingatkan supaya kekal fokus dan melakukan persiapan rapi memandangkan cabaran sengit dijangka hadir daripada wakil tuan rumah.
Gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang kini menghuni ranking pertama Jelajah Dunia dilihat sebagai halangan utama buat pasangan negara itu.
Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, persiapan mental dan fizikal kini menjadi agenda paling penting yang perlu diberi perhatian oleh Tang Jie dan Ee Wei.
Menurutnya, berdasarkan prestasi semasa, kedua-dua pemain itu diyakini tidak berdepan masalah untuk melangkah ke perlawanan akhir, namun kualiti permainan pada hari kejadian akan menjadi penentu segalanya.
“Berdasarkan pemerhatian saya setakat ini, tiada beregu lain yang mampu mengatasi mereka selain wakil Thailand memandangkan kuasa besar seperti China tidak menyertai Sukan SEA.
“Malah, pasangan dari Indonesia juga saya lihat masih berada di tahap bawah berbanding mereka. Dengan prestasi semasa, saya harap mereka dapat kekalkan momentum, tingkatkan keyakinan diri dan kekuatan mental,” katanya.
Razif turut menitipkan pesan agar pasangan negara itu bijak mengawal emosi di dalam gelanggang.
Jelasnya, sikap terlalu yakin mahupun perasaan terlalu merendah diri boleh memakan diri jika tidak dikawal dengan baik.
“Badminton ini unik, kadang-kadang bila terlalu yakin pun masalah, bila rasa terlalu tertekan pun masalah.
“Jadi, semuanya berbalik kepada persiapan mereka. Saya optimis mereka layak ke final, cuma Thailand satu-satunya gandingan yang mungkin menggugat,” ujarnya.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara beregu campuran adalah pada Sukan SEA 2021 di Hanoi menerusi gandingan Tang Jie dan Peck Yen Wei.
Ringkasan AI
- Gandingan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berada di landasan tepat untuk meraih pingat emas pada Sukan SEA di Thailand
- Mereka merangkul gelaran juara Terbuka Australia dan juara dunia pada Ogos lalu
- Wakil tuan rumah Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, pasangan ranking pertama dilihat sebagai halangan utama
- Datuk Razif Sidek menekankan pentingnya persiapan mental dan fizikal untuk Tang Jie dan Ee Wei
- Razif percaya bahwa selain Thailand, tiada beregu lain yang mampu mengatasi mereka, memandangkan China tidak menyertai Sukan SEA






