Osaka: Kira-kira 20 orang diselamatkan daripada roda Ferris gergasi di wilayah Osaka, Jepun, Selasa lalu, lapor Kyodo News.
Operasi menyelamat itu dijalankan beberapa jam selepas panahan kilat menyebabkan struktur setinggi 123 meter itu berhenti bergerak.
Insiden itu berlaku pada petang 25 November, kata pengendali dan jabatan bomba tempatan.
Roda Ferris yang dikenali sebagai Osaka Wheel terletak di dalam pusat beli-belah Expocity dan kompleks pawagam di Suita dan ia diiklankan sebagai roda Ferris tertinggi di negara itu.
Struktur itu juga berhampiran dengan Tower of the Sun yang dipelihara sebagai simbol Ekspo Dunia Jepun 1970.
Dalam operasi menyelamat itu, pekerja berjaya memutar struktur roda itu secara manual membolehkan sebilangan penunggang yang terperangkap keluar dengan selamat ke tanah.
Sementara itu, individu lain diselamatkan menggunakan trak bomba tangga.
© New Straits Times Press (M) Bhd





