Sukan SEA 2025: Songkhla ditukar ke Bangkok akibat banjir

Sukan SEA 2025: Songkhla ditukar ke Bangkok akibat banjir


BANGKOK: Tuan rumah Sukan SEA 2025, Thailand terpaksa memindahkan semua acara yang sepatutnya diadakan di Songkhla ke Bangkok berikutan banjir besar yang melanda wilayah itu.

Menurut Bangkok Post, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat semalam yang yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Sukan SEA ke-33, Chaiyapak Siriwat, Menteri Pelancongan Thailand, Atthakorn Sirilatthayakorn dan wakil dari semua negara peserta, kata Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand (NOCT).

Sebanyak 10 acara sukan yang menawarkan 109 pingat emas membabitkan tinju, pencak silat, bola sepak, catur, judo, kabadi, karate, gusti, petanque dan wushu akan dipindahkan ke Bangkok.

Selain kerisauan sama ada banjir dapat surut tepat pada masanya, keadaan venue asal selepas bencana juga menjadi perhatian, kata Chalitrat.

Beberapa negara turut menyuarakan kebimbangan mengenai risiko penyakit berkaitan banjir.

Sebagai tuan rumah, Thailand turut mempertimbangkan langkah memberi pampasan kepada negara peserta yang telah membuat tempahan penerbangan dan penginapan di Songkhla.

Pengumuman rasmi akan dibuat oleh tuan rumah, esok.

Dengan pemindahan tersebut, Sukan SEA 2025 akan berlangsung dari 9 hingga 20 Disember, bertempat di Bangkok dan Chonburi. – AGENSI

 





Source link

OR

Scroll to Top