Pelakon veteran, Noor Kumalasari berkongsi sebulan sebelum pemergian, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid mengalami kemurungan dan memilih untuk menyendiri.
Memetik HibGlam, Noor Kumalasari berkata perkara itu dimaklumkan oleh keluarga arwah yang memberitahu Dharma tidak mahu berjumpa dengan sesiapa termasuk adik beradiknya.
BACA: “Imamkan Solat Jenazah Hadiah Terbaik Yang Saya Boleh Bagi Kepada Ayah”
“Baru-baru ini ahli keluarganya beritahu saya, sebulan lalu arwah alami kemurungan. Dia jadi sangat ‘down’, sampai adik-beradik sendiri pun dia tak mahu jumpa.
“Dia lebih banyak menyendiri dan mengurung diri. Jadi, ketika Syafiq (anak Dharma) pulang dari kolej dan bertemu dengannya, sebenarnya masa itu arwah baru sahaja melalui fasa kemurungan itu,” katanya.
Sementara itu, Noor Kumalasari berkata arwah pernah meluahkan kepadanya dia merasa tertekan kerana sudah lama tidak bekerja dan tahun ini arwah diberikan rezeki untuk berlakon.
“Arwah pernah beritahu saya, dia murung sebab dah lama tak bekerja. Dia memang jenis suka bekerja, suka bergerak. Saya pernah nasihat, kalau rasa rindu nak bekerja, ambil saja apa-apa kerja dalam industri. Tolong-tolong pun tak apa.
“Walaupun bukan kerja tetap, pergilah ke set penggambaran. Dia suka suasana orang seni. Sekurang-kurangnya dia tak duduk di rumah dan tenggelam dalam kemurungan. Alhamdulillah, selepas itu rezekinya mula datang,” katanya.
Sumber: HibGlam





