Ibu kepada Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Fie Tawfek menyorot perhatian warganet selepas memuat naik hantaran di media sosial miliknya.
Menerusi perkongsian tersebut, ibu Dr.Fie yang dikenali sebagai Dr. Zailah Zainudin meluahkan rasa syukur selepas keputusan hadanah atau hak penjagaan tetap terhadap tiga cucunya berpihak kepada anaknya sepertimana yang diumumkan pada Rabu.
“Alhamdulillah Syukur Ya Rabb.. Thank you to my beloved sis kklang @zzkris & adinda @ajunael for continuous support & love, juga kepada semua ahli keluarga lain, sahabat handai serta netizen yang mendoakan,” katanya.
Bagaimanapun, apa yang lebih mencuri perhatian adalah, Dr. Zailah sempat menyebut nama bekas menantunya yang juga penyanyi, Nubhan pada hantaran berkenaan sekali gus menzahirkan ucapan terima kasih dan doa buat mereka semua.
“Saya dan suami sangat terharu dan tak lupa kepada Nubhan atas keputusan hari ini.
“Semoga Allah merahmati, memberkati dan meredhai kita semuaaa. Aamiin,” kongsinya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji pendekatan matang Dr. Zailah.
Malah, ramai yang berpendapat tindakan beliau itu adalah contoh ibu mertua yang berhati besar dan memilih jalan untuk berdamai.





Terdahulu, Dr Fie, 35, bersyukur apabila keputusan hadanah atau hak penjagaan tetap terhadap tiga anak berpihak kepadanya.
Bahkan, peguam syarie yang mewakilinya iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, pihak ibu sememangnya layak untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak.
Sekadar info, pada September lalu, Nubhan memfailkan tuntutan hadanah atau hak penjagaan penuh serta interim terhadap tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Sebelum itu, Nubhan memfailkan permohonan pengesahan perceraian untuk dua lafaz cerai dilakukannya dan satu lafaz rujuk terhadap Dr Afifah di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Pasangan ini bernikah pada 29 Ogos 2015 dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayillle, 3.






