Pengacara terkenal, Raja Azura mengambil langkah tegas dengan menyiarkan iklan pencarian di akhbar bagi menjejaki bekas suaminya, Adzmin Osman, demi menyelesaikan tuntutan nafkah tiga anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Menurut Raja Azura atau nama lengkapnya, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, langkah itu diambil selepas bekas suaminya yang sehingga kini masih tidak tahu keberadaannya masih enggan memberi sebarang kerjasama untuk penyerahan dokumen secara baik sebelum ini.
“Penyerahan afidavit tidak berjaya kerana dia tidak memberi maklum balas, jadi saya terpaksa memohon penyampaian ganti. Iklan itu sudah disiarkan pada Rabu, dan saya berharap dia hadir untuk menjelaskan isu nafkah anak-anak di mahkamah,” katanya.
Raja Azura berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH 37) di Menara Kuala Lumpur.
Mengulas lebih lanjut, Raja Azura menjelaskan, penyiaran iklan tersebut adalah perintah mahkamah, bagi memastikan Adzmin dimaklumkan tentang tarikh sebutan kes yang telah ditetapkan pada 3 Disember ini.
“Bila iklan dah keluar, barulah saya boleh beritahu umum kerana itu perintah mahkamah. Saya harap dia hadir dan selesaikan apa yang perlu.
“Dia kena datang sendiri dan buat pengakuan tentang hutang nafkah tertunggak sebelum kes boleh diteruskan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Raja Azura menepis dakwaan dirinya merayu, dia menegaskan sebaliknya hanya mahu isu nafkah anak-anak dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Saya bukan merayu… tidak. Saya cuma mahu dia hadir. Saya pun tak tahu dia di mana, dan kalau saya cari sendiri, nanti jadi gaduh. Saya nak cara yang damai dan tenang. Kami pun dah berumur, takut nanti terkejut sakit jantung,” ujarnya.
Raja Azura dan Adzmin yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada tahun 2001 sebelum bercerai pada 28 September 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20 tahun.
Artikel Berkaitan: Anak Didakwa Terdesak Tuntut Nafkah, Ibu Raja Azura Hilang Sabar! – “Aku Berdamping Dengan Dia, Siang Malam Cari Duit”






