Kesejahteraan lebih baik dengan penggunaan tenaga bijak

Kesejahteraan lebih baik dengan penggunaan tenaga bijak


Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam, memperkukuh komitmennya terhadap kesejahteraan negara dengan memberi penekanan kepada usaha pemerkasaan pelanggan, sokongan komuniti dan kelestarian bekalan tenaga untuk jangka panjang.

Tumpuan strategik terhadap infrastruktur berteraskan pelanggan menjadi tonggak penting kepada transformasi TNB, mencerminkan komitmen lebih meluas terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan kebolehpercayaan operasi.

Pertambahan Pengguna ToU, TNB perkasa penyelesaian tenaga berfokus pelanggan

Dalam usaha menambah baik pengalaman pelanggan dan mempertingkat pemerkasaan pengguna, TNB dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memperkenalkan ciri produk pilihan ToU untuk pengguna domestik sebagai usaha utama untuk membantu isi rumah mengurus dan mengoptimumkan bil bulanan elektrik.

Sejak diperkenalkan kepada pelanggan domestik pada 1 Julai, ToU muncul sebagai pilihan penting untuk rakyat Malaysia yang ingin mengawal penggunaan elektrik dengan lebih efektif.

TNB merekodkan peningkatan ketara dalam pendaftaran baharu serta pertambahan pertanyaan merentas pelbagai saluran perkhidmatan pelanggan TNB.

Setakat ini, lebih 70,000 pelanggan telah berhijrah kepada ToU, mencerminkan peningkatan pemahaman awam mengenai bagaimana ToU boleh digunakan sebagai alat praktikal untuk mengurus penggunaan tenaga secara berkesan.

Seiring peningkatan minat terhadap ToU, TNB terus memperluas dan mempercepatkan pemasangan meter pintar di seluruh negara bagi membolehkan lebih banyak isi rumah memperoleh maklumat penggunaan yang lebih tepat.

Setakat ini, sebanyak 5,081,063 meter pintar dipasang, menunjukkan tahap penerimaan lebih baik terhadap teknologi ini.

Rebat AFA terus memberi penjimatan ketara kepada isi rumah

Melengkapi usaha ini, rebat berterusan melalui Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) terus menyokong penjimatan isi rumah.

Sejak diperkenalkan, pelanggan telah menikmati penjimatan melebihi RM250 juta dalam bil elektrik mereka secara kolektif.

Mekanisme AFA membolehkan pemulangan kos secara serta-merta dan meningkatkan aliran tunai TNB.

Kedudukan platform tenaga TNB diperkukuh dalam segmen digital dan EV

Kebolehcapaian digital kekal sebagai teras strategi TNB, dengan aplikasi myTNB kini digunakan oleh 7.1 juta pelanggan, bersamaan 70 peratus daripada keseluruhan pelanggan.

Selari pelan hala tuju EV Kerajaan, peluasan fasiliti pengecasan di seluruh negara terus diperkukuh dengan 5,109 titik pengecas dipasang sehingga September 2025.

Sejak awal tahun ini, rangkaian pengecasan EV yang telah membekalkan lebih 10 GWh elektrik dan menjana hasil sekitar RM5.1 juta, mencerminkan pertumbuhan penggunaan serta peningkatan permintaan terhadap infrastruktur EV yang lebih teguh.

“Keutamaan TNB sentiasa adalah memastikan pelanggan kami berasa disokong, dimaklumkan dan diperkasa untuk membuat keputusan.

“Kami akan terus memperkukuh setiap titik sentuhan, merangkumi digital, operasi dan perkhidmatan dengan matlamat tunggal untuk memberikan nilai sebenar dan penjimatan bermakna kepada rakyat,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

“Komitmen kami jelas dan tegas: kami akan terus mengambil setiap langkah yang perlu, secara berdisiplin dan bertanggungjawab bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang serta menambah baik pengalaman tenaga rakyat Malaysia.

Menyokong pelanggan melalui disiplin operasi kukuh


Komitmen TNB terhadap kecemerlangan perkhidmatan memastikan penyampaian penyelesaian tenaga yang mampan, disokong oleh usaha berterusan sepanjang masa.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2025, TNB mencatat pendapatan sebanyak RM3.2 bilion, sejajar dengan jangkaan pasaran bagi prestasi yang stabil sepanjang tiga suku pertama.

Prestasi yang berdaya tahan ini didorong oleh permintaan elektrik yang kukuh, peningkatan jualan merentas segmen pelanggan utama serta kos kewangan bersih yang lebih rendah.

Sehingga September 2025, pertumbuhan permintaan terus menunjukkan trend menaik, dengan jumlah jualan elektrik mencecah 99,930 GWh, didorong terutamanya oleh pertumbuhan berterusan sektor komersial.

Pendapatan TNB turut diperkukuh oleh keuntungan terjemahan pertukaran asing sebanyak RM350 juta, hasil pengukuhan nilai ringgit daripada RM4.471/AS$ pada Disember 2024 kepada RM4.215/AS$ pada September 2025.

Pergerakan mata wang ini memberi kesan positif kepada kedudukan kewangan TNB dan mengukuhkan kestabilan pendapatan bagi tempoh tersebut.

Di samping itu, TNB memperkukuh kebolehpercayaan grid dan pengalaman pelanggan melalui pelaburan bersasar dalam penyelenggaraan, keupayaan tindak balas operasi serta infrastruktur digital.

Pada suku ketiga sahaja, syarikat melabur sebanyak RM3.1 bilion untuk inisiatif berkaitan kebolehpercayaan grid sebagai sebahagian daripada perbelanjaan terkumpul tahun semasa berjumlah RM8.3 bilion.

Usaha ini membuahkan hasil dengan penambahbaikan yang dapat diukur, dengan Indeks Tempoh Masa Purata Gangguan Sistem (SAIDI) bertambah baik kepada 46.65 minit berbanding 47.62 minit sebelum ini.

Menyumbang kembali kepada komuniti

Antara Januari hingga September 2025, TNB berperanan aktif dalam menyokong kesejahteraan rakyat melalui pelbagai komitmen CSR, meliputi:

  • Sokongan Pendidikan (RM96 juta): Bantuan kepada pelajar melalui UNITEN dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) bagi memperkukuhkan pembangunan bakat masa hadapan negara.
  • Sumbangan Zakat (RM9.15 juta): Disalurkan kepada lebih 32,000 penerima asnaf untuk tujuan Fisabilillah.
  • Program Khidmat Masyarakat (RM3.81 juta): Bantuan komuniti kepada hampir 100,000 individu termasuk melalui inisiatif Better Brighter Shelter dan Projek Mesra Rakyat.
  • Inisiatif Kesihatan (RM515,800): Bantuan perubatan kepada 2,825 penerima, termasuk sokongan dialisis melalui Yayasan Amal Medicare dan bantuan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia.
  • Bantuan Bencana (RM711,250): Bantuan kecemasan kepada 4,000 individu terjejas akibat banjir, ribut dan kebakaran.
  • Pembangunan Sukan (RM8.3 juta): Sokongan kepada 35,138 atlet dan peminat sukan termasuk program hoki kebangsaan.
  • Pemuliharaan Biodiversiti (RM523,565): Penanaman terumbu karang dan pemulihan ekosistem di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tioman.

Komitmen untuk rakyat Malaysia – Hari Ini dan Masa Hadapan

Usaha berterusan TNB yang dipacu oleh disiplin operasi, inovasi berteraskan pelanggan dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur negara memperkukuhkan misi syarikat untuk menyumbang kepada rakyat, memperkasa komuniti dan membina ketahanan tenaga Malaysia untuk generasi akan datang.

Pencapaian ini mencerminkan asas yang kukuh, kepimpinan yang dipercayai serta kesiapsiagaan berterusan TNB untuk memacu pertumbuhan jangka panjang sambil membentuk ekosistem tenaga yang mampan dan inklusif.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top