A Aida Kongsi Detik Tiada Harapan Di ICU, Soalan Anak Buat Hati ‘Tersentap’ Hingga Nekad Bertudung

A Aida Kongsi Detik Tiada Harapan Di ICU, Soalan Anak Buat Hati ‘Tersentap’ Hingga Nekad Bertudung


Penerbit terkenal, Datuk A Aida mendedahkan pertanyaan ringkas daripada anak keduanya menjadi titik perubahan sehingga membuatkan dia nekad untuk berhijab sepenuhnya.

Menurut A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 56, dia terkejut apabila anak keduanya, Azeva, secara spontan bertanya sama ada dia tidak mahu memakai tudung.

“Yang ‘triggered’ saya untuk bertudung sepenuhnya bila anak kedua saya, Azeva sebelum Ramadan tanya saya, ‘mama tak nak pakai tudung ke?’

“Saya terkejut anak saya boleh tanya macam tu. Bila kata-kata anak saya itu membuatkan saya seminggu tak tidur malam,” katanya ketika ditemui media.

Tambahnya, kata-kata tersebut membuatkan dia banyak berfikir dan berbicara dengan diri sendiri sebelum akhirnya membuat keputusan untuk menutup aurat.

“Bercakap dengan diri sendiri untuk ambil keputusan bertudung ini tau. Tak mudah sebenarnya. Bulan puasa hati tergerak. Saya pun mencari tudung-tudung lama,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu juga mengejutkan anak-anaknya yang tidak menyangka dia akhirnya tampil berhijab sepenuhnya.

“Reaksi anak-anak saya bila pakai semua terkejut. Insya-Allah, saya dah 55 tahun saya rasa dah sampai masa,” katanya.

Dalam pada itu, A Aida turut berkongsi detik getir yang pernah dilaluinya sebelum ini apabila berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Sebenarnya masa dekat ICU doktor dah bagi tahu anak saya supaya panggil semua keluarga terdekat, suruh baca Yasin. Memang doktor kata saya dah tak ada peluang. Sampai sekarang masih ada lagi rakaman suara doktor itu saya dengar,” katanya.

“Memang kalau nak kira saya tiada harapan. Kalau saya hidup pun kemungkinan saya akan lupa, tak ingat orang sebab oksigen tak sampai ke otak selama tiga hari. Hidup macam ibarat sayur,” katanya.

A Aida berkata demikian ketika ditemui pada rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur, malam Selasa.

Namun, A Aida menyifatkan peluang kedua yang diberikan Allah SWT sebagai satu keajaiban.

Katanya, saat membuka mata selepas tidak sedarkan diri, dia melihat pendakwah Ustaz Izhar Ariff berada di sisi dan kata-kata yang diucapkan ketika itu masih segar di ingatannya.

“Alhamdulillah bila saya sedar, celik mata nampak Ustaz Izhar Ariff duduk sebelah saya. Saya ingat lagi ayat pertama dia, ‘lepas ni pakai tudung’.

“Tiba-tiba saya tersedar, berterima kasih kepada Allah dan berjanji dengan ustaz untuk berhijab,” katanya.

Terdahulu, sekitar Oktober 2025, A Aida dilaporkan mengalami insiden tidak sedarkan diri selepas menjalani sesi fisioterapi.

Difahamkan, penerbit itu baru dua hari menjalani pembedahan pada kedua-dua lututnya sebelum keadaan kesihatannya berubah secara mendadak ketika rawatan susulan.

Artikel Berkaitan: Sudah Sedarkan Diri, A Aida Masih Dipantau Di ICU



Source link

OR

Scroll to Top