Pelakon dan penerbit, Datuk A Aida berkata dia membuat keputusan untuk berhijab sepenuhnya selepas berdepan detik cemas ditidurkan akibat komplikasi pembedahan lutut.
Memetik Harian Metro, ketika berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor memaklumkan kepada keluarganya bahawa harapan untuk sembuh sangat tipis.
BACA: “Bukan Sebab Orang Lain Tapi Kerana Hati” – A Aida Tampil Berhijab
Bagaimanapun, sebaik saja sedar, Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff adalah individu pertama yang dilihatnya dan pesanan diberikan oleh pendakwah itu memberi impak kepadanya.
“Ayat pertama yang keluar daripada mulut ustaz, dia minta saya pakai tudung. Hati saya terus tersedar dan saya putuskan untuk bertudung. Selama sebulan proses pemulihan, kata-kata ustaz itu sering bermain di fikiran,” katanya.
Sementara itu, Aida berkata pertanyaan anak keduanya, Azeva seminggu sebelum Ramadan membuatkan dirinya tidak tidur malam.
“Dia tanya, ‘Mama tak nak pakai tudung ke?’. Pertanyaan itu buat saya tak tidur malam selama seminggu. Dengan faktor usia sekarang, saya rasa memang sudah patut saya berhijab.
“Bermula Ramadan lalu, saya cari semula koleksi tudung lama. Alhamdulillah, anak-anak adalah individu paling gembira dengan perubahan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aida mengakui kesal melakukan pembedahan lutut sedangkan kesakitannya tidak serius dan kini terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat.
“Pesanan saya, jangan sesekali usik bahagian lutut kalau tak sakit betul-betul. Lutut kita ibarat tayar. Doktor boleh janji manis, tapi hakikatnya kita yang menanggungnya.
“Dulu saya sangat aktif dan tak makan ubat, tapi sekarang saya kena makan ubat cair darah, kolesterol dan darah tinggi setiap hari,” katanya.
Sumber: Harian Metro






