norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penerbit terkenal, Datuk A Aida, 55, yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah dipindahkan ke wad biasa, hari ini.
Berita gembira ini dikongsi anak keduanya, Azeva Natassha, 24, di Instagram Story, hari ini.
Dalam hantaran itu, Azeva mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang mendoakan kesembuhan buat ibunya dan selalu mengambil berat dengan bertanya khabar.
“Assalamualaikum. Alhamdulillah mama ‘finally’ (akhirnya) dah dibenarkan masuk ke wad biasa.
“Terima kasih atas segala sokongan dan doa daripada semua,” tulisnya pada hantaran dimuat naik di Instagram Story berserta emoji hati berwarna merah.
Dalam satu lagi hantaran lain di Instagram Story, Azeva memaklumkan mereka juga masih menunggu keputusan pemeriksaan Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).
“Kepada semua rakan mama, memang mama sudah dikeluarkan dari ICU, namun sekarang kami masih menunggu keputusan ujian MRI dan CT Scan yang dilakukan.
“Bagaimanapun buat masa ini, doktor menasihatkan agar tiada kunjungan untuk melawat mama berikutan masih lagi dalam pemantauan intensif untuk pemulihan.
“Jadi, bagi perkembangan kesihatan mama, saya akan kongsikan ‘update’ (kemaskini) terkini di media sosial. Terima kasih kerana memahami dan terus mendoakan mama,” katanya.
Semalam, Azeva berkongsi berita A Aida sudah sedar dan boleh bercakap tetapi tidak boleh menerima pelawat atas nasihat daripada doktor yang memantau.
Terdahulu, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang dilaporkan mendapat rawatan lanjut di ICU akibat rebah selepas melakukan fisioterapi di sebuah hospital pada Khamis lalu.
Sebelum itu, pemilik Aida Production berkenaan turut dikatqkan baharu menjalani pembedahan lutut pada Selasa lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





