BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas mengejutkan pilihan kedua dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.
Gaya permainan serangan dan pertahanan ampuh ditampilkan Aaron-Wooi Yik menyaksikan beregu nombor dua negara itu menang straight set ke atas juara bertahan tersebut.
Perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China,Aaron-Wooi Yik yang tampil dengan status pilihan keenam menang set pertama, 21- 12 ke atas Wei Keng-Wang Chang.
Set kedua, Aaron-Wooi Yik tidak memandang ke belakang lagi meneruskan persembahan bertenaga biarpun Wei Keng-Wang Chang mula mengutip mata untuk kembali dalam permainan untuk menang 21-14 dalam masa 31 minit.
Kemenangan ketiga Aaron-Wooi Yik ke atas Wei Keng-Wang Chang dalam 11 pertemuan juga melayakkan mereka ke perlawanan akhir pertama sejak menjuarai Korea Masters pada November tahun lalu.
Aaron-Wooi Yik akan bertemu pemenang perlawanan antara Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin (Indonesia) menentang wakil dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi di final.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan beregu nombor empat dunia, dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 21-16, 21-11 dalam masa 30 minit.
Wei Keng-Wang Chang pula mengesahkan kemaraan dalam masa 42 minit selepas menjinakkan wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin, 21-19, 21-19.
INFO
Aaron-Wooi Yik mara ke final BAC buat kali pertama pada 2022, sebelum tewas kepada gandingan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan, 21-23, 10-21 di Manila.
OR