BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan tampil berbeza menerusi corak permainan yang lebih ‘tajam’ pada Orleans Master dan Seluruh England bulan depan.
Meskipun ia bukan strategi baharu, namun Aaron memberitahu, ia ‘senjata’ yang pernah digunakan pada beberapa kejohanan sebelum ini.
“Gaya permainan ini, kita ada guna dalam pertandingan sebelum ini. Cuma bezanya tak konsisten.
“Namun diharapkan pada dua kejohanan akan datang, kita akan lebih konsisten dengan gaya permainan ini.
“Lagi pun ia juga adalah salah satu kekuatan kami,”katanya yang ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.
Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik pernah muncul naib juara Seluruh England pada 2019 serta edisi lalu.
Mengulas kecederaan berulang pada bahagian pergelangan tangan kanan, Aaron mendedahkan ia tidak mengganggu prestasinya.
“Kecederaan ini bukan perkara baharu, tetapi sudah lama. Ia datang sekali sekala. Jadi ia tidak mengganggu permainan saya,” katanya.
Aaron turut mengakui prestasi wakil negara bagi kategori beregu lelaki juga semakin baik dan ia bakal memberi kelebihan lebih baik untuk melakar kejayaan.
“Bagi beregu lelaki, kita ada ramai wakil yang akan beraksi di Seluruh England.
“Kita ada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani. Prestasi mereka juga berada di kemuncak, manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula baru lepas menjuarai Indonesia Masters.
“Jadi pada saya, kalau bertemu rakan senegara lagi susah berbanding berjumpa lawan dari negara lain,”katanya.
Seluruh England yang bermula 11 hingga 16 Mac itu menyaksikan Malaysia diwakili tujuh pasangan.
Empat wakil daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Chong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.
Tiga lagi adalah wakil profesional iaitu beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.
Kehadiran ramai wakil itu membuka peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 18 tahun yang kali terakhir dimenangi Koo Kiean Keat-Tan Boon Heong pada 2007.