Reaksi Aaron (kanan) dan Wooi Yik selepas menjuarai Terbuka Singapura pada Ahad. Foto Agensi.
KEKUATAN fizikal dan mental dilihat menjadi resipi kejayaan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk muncul juara Terbuka Singapura sebentar tadi.
Pasangan nombor tiga dunia itu sudah beraksi di pentas akhir buat kali keempat berturut-turut dalam tempoh kira-kira tujuh minggu sejak pertengahan April lalu.
Namun ia bukan alasan buat Aaron-Wooi Yik yang tetap memberi saingan sengit kepada Kim Won-ho dan Seo Seung-Jae dalam aksi final di Stadium Tertutup Singapura yang berlarutan sehingga ke set penentuan.
Pasangan negara turun dengan penuh yakin, namun gagal menyaingi cabaran gandingan Korea Selatan yang berstatus ke-10 dunia itu apabila tewas set pertama 15-21.
Menjengah dalam saingan kedua, Aaron-Wooi Yik cuba bangkit mengubah rentak permainan dan ia nyata berbaloi apabila menang 21-18 untuk melanjutkan aksi ke set penentuan.
Mereka kemudian meneruskan momentum positif untuk mengesahkan kemenangan 21-19 dalam tempoh 65 minit permainan.
Kejayaan berkenaan menyaksikan mereka berjaya meraih gelaran ketiga musim ini selain menamatkan kemarau 17 tahun kejuaraan di Singapura.
Keputusan tersebut menyaksikan kedua-dua pasangan mengikat rekod kemenangan kepada 1-1.
Aaron-Wooi Yik sebelum ini menggondol gelaran Kejohanan Badminton Asia (BAC) di China pertengahan April lalu dan kejuaraan Terbuka Thailand dua minggu lepas.
Malah mereka juga beraksi di pentas akhir Malaysia Masters di Bukit Jalil minggu lalu.
Menerusi kejuaraan tersebut membolehkan Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah bernilai AS$74,000 (RM315,000), manakala pasangan lawan meraih AS$35,000 (RM149,000).
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara meraih gelaran Terbuka Singapura adalah menerusi gandingan Zakry Latif-Fairuzizuan Tazari pada edisi 2008.