Aaron-Wooi Yik konsisten, Pearly-Thinaah turut mara

Aaron-Wooi Yik konsisten, Pearly-Thinaah turut mara

Aaron-Wooi Yik konsisten, Pearly-Thinaah turut mara


 

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak konsisten apabila mara ke suku akhir selepas mengetepikan wakil Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India, hari ini.

Naib juara Terbuka Malaysia itu melakar kemenangan straight set ke atas Nonuta-Shimogami yang menghuni ranking ke-35 dunia 21-9, 23-21 dalam masa 33 minit.

Pada suku akhir, esok, beregu No. 1 Malaysia itu akan bertemu pasangan ke-15 dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan.

Wakil Taiwan itu melepasi halangan peringkat 16 terbaik selepas menewaskan beregu No. 7 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang sekali lagi terkandas di pusingan kedua selepas mereka tersingkir di peringkat sama pada Terbuka Malaysia, minggu lepas.

Gandingan profesional Malaysia itu tumpas di tangan Jhe Huei-Po Hsuan 14-21, 21-17, 14-21 dalam masa 46 minit.

Aaron-Wooi Yik mempunyai kelebihan psikologi ke atas Jhe Huei-Po Hsuan jika rekod pertemuan 4-0 diambil kira, namun, kali terakhir mereka mengalahkan beregu Taiwan itu adalah pada All England, dua tahun lalu.

Dalam tempoh dua tahun, kedua-dua beregu tidak pernah bertemu dan banyak perubahan telah berlaku, justeru, Aaron-Wooi Yik perlu lebih berhati-hati agar tiada kejutan pada suku akhir nanti.

Aaron ketika ditemu bual berkata, amat penting untuk mereka kekalkan momentum di dalam gelanggang dan memanfaatkan kelebihan sebagai pemain berpengalaman.

“Kami tidak muda lagi, jadi konsisten amat penting, jujur saya katakan pengalaman banyak memberi kami kelebihan ketika di dalam gelanggang,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Wooi Yik pula berkata, mereka bermain untuk negara dan kemenangan menjadi sasaran kerana itu yang dimahukan semua orang di tanah air.

“Kami ada sasaran, negara mahu kami bermain baik dan penting untuk terus kekalkan konsisten terutama menjelang Sukan Asia, jadi, kami perlu melakukan analisis dengan baik untuk mengekalkan momentum,” katanya.

Satu lagi beregu lelaki Malaysia yang menghuni ranking No. 6 dunia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menyingkirkan pasangan ke-24 dunia, Christo Popov-Toma Junior Popov dari Perancis 14-21, 21-12, 21-14 dalam masa 53 minit.

Beregu No. 5 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China menanti Wei Chong-Kai Wun di suku akhir.

Sementara itu, dalam aksi beregu wanita, harapan tunggal Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan masalah menyingkirkan wakil Perancis, Margot Lambert-Camille Pognante 21-7, 23-21 dalam masa 31 minit.

Pada peringkat lapan terbaik, pasangan No. 2 dunia itu akan menghitung pertemuan dengan Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu dari Taiwan bagi memburu tempat ke separuh akhir. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top