sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan harapan tinggi kepada bakal jurulatih beregu lelaki negara untuk membantu Malaysia melahirkan lebih ramai gandingan bertaraf dunia.
Bagi Aaron, jurulatih yang akan ambil alih tanggungjawab itu mesti mempunyai kekuatan serta pengalaman yang luas agar perkara itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
“Saya harap dia (jurulatih baharu) mampu menolong beregu lelaki Malaysia. Itu sasaran utama buat kami. Kami tidak fikir jurulatih ini hanya akan membantu kami sahaja, dia juga harus pandai dalam menolong satu pasukan beregu lelaki.
“Sebab itu yang penting kerana dia harus membina pasangan yang sedang meningkat naik dan bukan menolong kami sahaja,” katanya.
Jurulatih beregu lelaki ketika ini, Tan Bin Shen akan menabur bakti buat kali terakhir pada Terbuka Malaysia awal bulan depan sebelum memulakan tugas baharu di Hong Kong pada Februari ini.
Sementara itu, pemangku presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam berkata, tindakan Bin Shen itu adalah perkara biasa bagi setiap persatuan di dalam dunia ini apabila akan jurulatih datang dan pergi untuk mencari pengalaman baharu.
Terdahulu, nama jurulatih kelahiran Indonesia, Herry Iman Pierngadi antara yang disebut menggantikan Bin Shen namun belum ada pengesahan secara rasmi daripada pihak BAM.
© New Straits Times Press (M) Bhd