Aaron-Wooi Yik lulus ranjau pertama di Thailand

Aaron-Wooi Yik lulus ranjau pertama di Thailand


BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2025 Super 500 selepas menewaskan pasangan Perancis, Julien Maio-William Villeger awal pagi Khamis.

Juara Asia itu mengambil masa lebih sejam untuk mencatat kemenangan 22-24, 21-19, 21-15.

Aaron mengakui, bermain selepas tengah malam menjejaskan prestasi mereka, terutamanya pada set pertama, namun mereka berjaya bangkit dalam dua set berikutnya.

“Kami gembira kerana berjaya bangkit semula dan layak ke pusingan seterusnya,” katanya di Stadium Nimibutr, Bangkok pada Khamis.

Wooi Yik berkata, mereka masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jurulatih baharu Herry Iman Pierngadi, serta pendekatan taktikalnya.

“Ini hanyalah kejohanan kedua atau ketiga kami di bawah jurulatih Herry dan kami berharap dapat beraksi dengan baik serta memberikan keputusan yang positif,” katanya.

Aaron-Soh dijangka bertemu pemenang perlawanan antara pasangan Taiwan, Lu Ming Che-Tang Kai Wei dan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita, yang dijadual berlangsung kemudian.

Sementara itu, pada aksi lebih awal, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan India, Pruthvi Krishnamurthy-Sai Pratheek dalam perlawanan sengit dengan keputusan 22-20, 17-21, 21-18 yang mengambil masa lebih sejam.

Wan Arif mengakui, perasaan gugup menjejaskan prestasi mereka sehingga menyebabkan permainan tidak konsisten.

“Pertahanan kami lemah, pukulan kurang menjadi dan kami melakukan terlalu banyak kesilapan mudah. Jika mara lebih jauh, saya harap kami dapat bermain dengan lebih baik dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Wan Arif turut mendedahkan, mereka menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir dalam kejohanan ini.

Wan Arif-Roy King akan menentang rakan senegara Kang Khai Xing-Aaron Tai, yang menewaskan pasangan Thailand Pharanyu Kaosamaang dan Tanadon Punpanich, 12-21, 21-13, 21-15 dalam masa 58 minit.

TERBUKA THAILAND SUPER 500

KEPUTUSAN

PERSEORANGAN WANITA

Weng Hong Yang (CHN) kalahkan Ng Tze Yong 21-13, 21-17

Tharun Mannepalli (IND) kalahkan Justin Hoh 21-19, 21-16

BEREGU LELAKI

[6] Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King kalahkan Pruthvi Krishnamurthy-Sai Pratheek (India) 22-20, 17-21, 21-18

Jin Yong-Na Sung Seung (Korea Selatan) kalahkan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-16, 15-21, 21-16

Kang Khai Xing-Aaron Tai kalahkan Pharanyu Kaosamaang-Tanadon Punpanich (Thailand) 12-21, 21-13, 21-15

Man Wei Chong-Kai Wun Tee kalahkan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal 21-10, 21-11

PERSEORANGAN WANITA

[2] Chen Yu Fei (China) kalahkan Goh Jin Wei 21-6, 21-9

BEREGU WANITA

[8] Go Pei Kee-Teoh Mei Xing kalahkan Chen Su Yu-Hsieh Yi En (Taiwan) 21-15, 18-21, 21-15



Source link

OR

Scroll to Top