BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan langkah kanan apabila mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di China sebentar tadi.
Juara dunia 2022 itu menyingkirkan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto secara straight set dalam aksi bertenaga di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Menerusi strategi permainan pantas, Aaron-Wooi Yik mengungguli set pertama 21-16.
Momentum positif kemudian diteruskan apabila pasangan negara memerangkap gandingan Indonesia itu menerusi permainan di jaring.
Kesilapan pilihan ketiga kejohanan itu membuka ruang buat Aaron-Wooi Yik mengutip mata demi mata sebelum mengesahkan kemenangan 21-11 dalam masa 30 minit.
Keputusan itu menyaksikan rekod pertemuan mereka adalah seimbang dengan masing-masing meraih empat kemenangan daripada lapan pertemuan.
Menanti Aaron-Wooi Yik dalam saingan separuh akhir pada Sabtu ialah beregu nombor tiga dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Pasangan dari China itu mara selepas menewaskan pasangan Indonesia, Shohibul Fikri-Daniel Marthin dalam satu lagi aksi suku akhir.
OR