Biarpun berbaki satu lagi aksi, Aaron (kanan) dan Wooi Yik sudah mengesahkan slot separuh akhir WTF. Foto Agensi
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak diberi laluan yang mudah untuk mara ke kelompok empat terbaik dalam Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 sebentar tadi.
Mereka sebaliknya dipaksa bekerja keras oleh Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto hampir sejam permainan di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou.
Pasangan nombor lima dunia itu bermula dengan langkah kiri apabila tewas pada set pertama 19-21 kepada pasangan Indonesia itu.
Tersentak dengan keputusan tersebut Aaron-Wooi Yik kembali memperkemaskan permainan sebelum menang 21-14 pada permainan kedua.
Mereka meneruskan kebangkitan apabila mengesahkan kemenangan 21-15 dalam masa 52 minit perlawanan.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu pada Rabu menewaskan pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiang Yu dalam saingan pertama kumpulan.
Mereka akan melengkapkan jadual Kumpulan B menentang satu lagi gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Muhammad Reza Pahlevi Isfahani pada Jumaat.